Ini resepi daging rendang sempoi, lagi ringkas lagi ramai suka rupanya

Rendang daging hidangan yang sangat digemari oleh ramai. Anda tidak perlu menunggu musim perayaan, bahkan pada hari biasa pun anda boleh memasak hidangan enak ini untuk dinikmati bersama keluarga.

Bagi mereka yang memulakan perniagaan, resipi ini sangat sesuai kerana ia tidak rumit dan hanya menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati.

Resipi perkongsian dari saudari Suriana Mohd ini direka untuk sukatan 4 kg daging. Sukatan ini sesuai untuk persiapan semasa perayaan dan juga untuk tujuan perniagaan.

Jika anda ingin memasak dalam jumlah yang lebih sedikit atau lebih banyak, anda hanya perlu mengurangkan atau menambah sukatan bahan sahaja. Sangat mudah. Mari cuba! Anda dan keluarga pasti akan menyukainya.

Resepi rendang daging sempoi

Bahan-bahannya:

4 kg daging

2 sudu makan rempah kari

Air secukupnya

½ ketul gula kabung

500ml santan kotak

1 kotak air

500gm kerisik

Garam & serbuk perasa secukupnya

Daun kunyit

Daun limau purut

Bahan-bahan kisar:

20 biji bawang merah

1 labu bawang putih

4 inci halia

3 inci lengkuas

3 inci kunyit hidup @ 2 sudu serbuk kunyit

20 batang serai

30 tangkai cili kering – guna cili api pon boleh

Cara memasak:

Panaskan minyak masak dalam periuk dan tumis bahan-bahan yang telah dikisar hingga pecah minyak. Kemudian, masukkan rempah kari dan sedikit air. Teruskan menumis sehingga rempah kari pecah minyak.

Langkah ketiga, masukkan daging yang telah dipotong dan juga air ke dalam periuk. Masak dengan api sederhana sehingga daging menjadi lembut dan kuah menyusut hingga kering.

Kemudian, masukkan gula kabung ke dalam periuk, diikuti dengan santan dan satu kotak air (gunakan kotak santan sebagai sukatan air).

Tambahkan juga kerisik, garam, dan perasa secukupnya ke dalam periuk. Biarkan rendang mereneh dengan api perlahan sehingga kuah menyusut dan daging menjadi kering.

Taburkan daun kunyit dan daun limau ke dalam periuk. Gaul sebentar sehingga layu dan boleh diangkat.

Rendang Daging kini sedia untuk dinikmati bersama-sama keluarga dan teman-teman. Selamat mencuba!

Baca juga: “Penat hidup dengan suami taktahu tanggungjawab, aku penat aku campak je anak biar dia tahu”