Apabila tiba bulan Zulhijah (1 Zulhijah), orang yang ingin berkorban disunatkan untuk tidak memotong rambut di kepalanya, wajahnya atau badannya, tidak juga memotong kukunya sehingga selesai sembelihan korbannya.
Hal ini berdasarkan hadis daripada Ummu Salamah R.Anha bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mempunyai binatang korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijah, janganlah dia mengambil satu apa pun (memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban. (Riwayat Muslim (1977), Abu Daud, 2791)
Menurut Imam al-Syawkani, hadis ini adalah dalil larangan memotong kuku dan mencukur rambut bagi orang yang hendak melaksanakan ibadah korban. (Rujuk: Nail al-Awtar, 5/133)
Syeikh Khalil al-Saharanfuri menukilkan pandangan Imam Syafi’i bahawa larangan yang dimaksudkan dalam hadis adalah makruh bukan haram berpandukan hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha:
“Sesungguhnya Nabi SAW dikirimkan dengan binatang korban dan tidak diharamkan ke atasnya sesuatu yang telah dihalalkan oleh Allah SWT sehingga dia menyembelih binatang korbannya.”
Sementara itu, ulama mazhab Syafi’i menyatakan hikmah larangan memotong kuku dan rambut bagi orang yang melakukan korban supaya anggota-anggota tubuh badan akan dibebaskan daripada api neraka.
Menurut pendapat yang lain, hikmahnya untuk menyerupai orang yang sedang berihram, yang mana dia diharamkan untuk bergunting, mencukur, memotong kuku dan beberapa larangan lain. (Rujuk: Syarh al-Nawawi ala Muslim, 13/139)
Berdasarkan perbahasan dan perbincangan ulama di atas, maka dapat disimpulkan bahawa larangan memotong kuku dan rambut bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban adalah makruh menurut pandangan mazhab Syafi’i.
Hikmah larangan memotong kuku dan rambut adalah supaya anggota-anggota badan itu semuanya akan dibebaskan daripada api neraka.
Menurut pendapat lain, hikmahnya untuk menyerupai orang yang berada dalam keadaan ihram yang diharamkan untuk bergunting, mencukur, memotong kuku dan beberapa larangan lain.
Kredit: Kosmo!
BACA JUGA 10 makanan yang pantang diambil ibu hamil, nombor 6 tu ramai yang abai tapi memang menempah bahaya