Siapa sangka kereta buatan Malaysia menjadi kegilaan warga Britain ini yang memiliki enam buah model kereta proton.
Jon Coupland memiliki kereta-kereta tersebut kerana negara itu masih menjual model Proton sebagai kereta terpakai.
“Saya secara tidak sengaja terlihat iklan kereta Proton dalam laman web jual beli kenderaan.
“Tanpa berlengah, saya terus pergi ke pusat jualan kenderaan itu dan membeli kereta Proton Saga 1.5 sebelum membawanya pulang ke rumah.
“Sebaik kereta itu berada di perkarangan rumah, saya memerhatinya agak lama dan menyedari model kereta Proton itu mempunyai keistimewaan tersendiri.
“Malangnya model kereta ini semakin dilupakan di UK. Sejak itu timbul visi saya untuk mengumpulkan semula model kenderaan ini bagi memastikan jenama Proton terus hidup,” katanya.
Menurutnya, model pertama kereta yang dibelinya adalah Proton Saga 1.5 SE LE Edisi Khas UK tahun 1990 yang masih dalam keadaan sangat baik, dengan jarak perjalanan hanya 48,000 kilometer (km).
“Kereta itu dibeli pada harga £700 (RM4,000) pada tahun 2019.
“Menambah kepada keunikan Proton di UK, ia tidak lagi dijual membabitkan model baharu.
“Kereta model Proton hanya boleh dimiliki menerusi jualan syarikat kereta terpakai. Ini menambahkan lagi elemen keunikannya,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, dia sangat menggemari model awal kereta Proton seperti model Saga dan Iswara yang menampilkan rekaan serta kemasan yang berbeza daripada kereta jenama biasa yang biasa dilihat di Eropah.
Jon memiliki koleksi lapan kereta model Proton Saga dan Iswara, menghadapi masalah ruang yang tidak mencukupi di rumahnya untuk menyimpan semua kenderaan tersebut.
“Bukan hanya saya seorang malah ramai yang meminati model kereta Proton ini selepas mereka menonton saluran Youtube saya Jon Coupland. Ramai yang berminat untuk memiliki kereta Proton kerana melihat usaha saya mengekalkan model ini.
“Saya menjualnya kepada pelbagai golongan seperti pengumpul kereta, bekas pekerja Proton, warga Malaysia dan remaja yang mencari kereta pertama,” katanya.
Jon menyatakan bahawa dia berniat untuk menyimpan enam kereta Proton yang dimilikinya sekarang dan menjaga mereka dengan rapi.
Baca juga: Dua kali disambar petir, lelaki ini dianggap bertuah kerana masih hidup