Allahyarham Pyanhabib Rahman, 66, yang meninggal dunia pada 4 Jun lepas pernah menggemparkan industri hiburan apabila menolak anugerah dalam Festival Filem Malaysia keenam menerusi filem Tsu Feh Sofiah (1986).
Klip rakaman video aksi ‘rebel’ Pyanhabib yang dimuatnaik di YouTube itu kembali menjadi tontonan warganet.
Beliau yang dikenali sebagai insan ‘humble’ dalam masyarakat menolak untuk menerima Anugerah Khas Juri sebagai pelakon pembantu terbaik untuk filem arahan Rahim Razali itu kerana merasakan Anugerah Khas Juri itu diberikan kerana kesian.
Sebabnya, Pyanhabib cuma tahu dia dicalonkan untuk Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik menerusi watak Osman Tikus bagi filem Kembara Seniman Jalanan (KSJ) arahan Nasir Jani.
Pyan Habib yang datang pada saat akhir dari Pasar Seni ke PWTC dengan menaiki teksi selepas didesak rakan wartawan untuk dia hadir sebagai menghormati majlis.
Dia yang lewat tiba ketika itu, kerana majlis telah pun bermula terus disuruh naik ke pentas oleh Uji Rashid yang kebetulan duduk semeja.
Pyan Habib tidak mengetahui apa-apa tentang Anugerah Khas Juri itu. Dia hanya tahu selepas membaca nota keputusan yang tertulis pada Jins Shamsuddin tentang kemenangan tersebut.
Kebetulan, pada saat akhir sebelum Pesta Filem Malaysia Ke-6 itu berlangsung, semua pencalonan untuk filem KEMBARA SENIMAN JALANAN ditolak secara total oleh pihak juri.
Keputusan tersebut telah mengecewakan Nasir Jani dan team produksi yang terlibat dalam filem KSJ.
KSJ ditolak tanpa diberikan alasan yang munasabah. Mereka cuma diberitahu sebab M. Nasir iaitu watak utama KSJ bukan warganegara Malaysia.
Sedangkan filem arahan pengarah dari Indonesia iaitu filem SUARA KEKASIH lakonan Ogy Ahmad Daud dan Azmil Mustapha tidak pula ditolak.
Isu sebenarnya adalah disebabkan berlaku krisis antara M. Nasir dan salah seorang juri PFM6 (telah meninggal dunia).
Juri tersebut dikatakan tidak puas hati kerana skrip filem KSJ diberikan oleh M. Nasir kepada Nasir Jani untuk difilemkan.
Ini kerana sebelumnya skrip itu pernah diberikan kepada juri tersebut. Perkara ini telah dijawab sendiri oleh Nasir Jani dalam satu temubual.
Pyan Habib yang tidak tahu menahu tentang KSJ ditolak pada malam itu telah dijulang oleh Nasir Jani dan rakan-rakannya selepas menolak anugerah yang diterimanya.
Namun, Pyanhabib keesokannya dituduh dalam laporan akhbar sebagai cuba mensabotaj PFM6 dan tidak menghormati majlis.
Begitulah serba ringkas kisah di sebalik penolakan Anugerah Khas Juri oleh Pyanhabib.
BACA JUGA Tak sangka ini rupanya masalah beli Honda RS, pemilik kereta ini beri nasihat buat bakal pembeli