Kini lebih ramai masyarakat yang semakin cakna dalam melakukan pelaburan, lebih lebih lagi pelaburan melibatkan jenis emas.
Namun harus diingatkan, setiap pelaburan yang dilakukan perlulah dilakukan dengan ilmu kerana jika tidak mempunyai ilmu pasti akan kerugian.
Melalui satu perkongsian di TikTok, penasihat kewangan, Azizi Ali mendedahkan cara betul untuk melabur emas yang ramai terlepas pandang.
Menurut Azizi, tidak digalakkan membeli emas pelaburan di kedai emas yang menjual perhiasan seperti rantai, gelang dan cincin.
“Di kedai emas perhiasan juga ada dijual emas pelaburan seperti jongkong emas (gold bar), dan ada sesetengah daripada mereka yang berniat untuk melabur emas membeli di sini.
“Tapi saya nak terangkan, saya tak syorkan untuk beli emas pelaburan di kedai emas perhiasan, kenapa?
“Sebab harga emas pelaburan di kedai emas perhiasan begini adalah tinggi. Maka apabila kita hendak jual balik nanti, potongannya juga tinggi.
“Jadi besar kemungkinan kita akan menanggung kerugian,” jelas Azizi Ali.
Haruslah diingatkan supaya membeli emas dari perniagaan yang khususnya menjual emas pelaburan.
“Jadi nak melabur dalam emas itu betul, melabur emas fizikal itu betul, melabur dalam emas pelaburan itu betul.
“Tapi belinya daripada syarikat yang berkhusus dalam emas pelaburan,” ujar Azizi Ali.
Baca juga: “Dah la suami tak izinkan aku kerja, gaji suami RM6K tapi nafkah aku cuma RM10 je dia mampu bagi..”