Belangkas telah wujud lebih daripada 200 juta tahun dan sering dianggap sebagai makhluk eksotik.
Bagi mereka yang tidak pernah merasai belangkas, rasa dagingnya lebih kurang seperti daging ketam, namun ada yang berpendapat bahawa ia tidak manis dan berlemak.
Untuk pengetahuan, dalam Islam belangkas dan telurnya dianggap halal untuk dimakan kerana mereka tergolong dalam jenis hidupan air, dan juga tidak memudaratkan si pemakan.
Menerusi perkongsian yang dibuat oleh Desa Keda Tepi Sungai ia menunjukkan cara yang betul untuk membersihkan binatang tersebut.
Mari ikuti caranya di bawah ini.
Langkah pertama, ambil pisau, dan potonglah bahagian belakang belangkas mengikut bentuknya.
Setelah bahagian tersebut dipotong mengikut bentuk, tariklah bahagian yang telah dipotong hingga ia tertanggal.
Seterusnya, tariklah najis dan racun di bahagian tengah perut yang menyerupai tali, kemudian potong dan buangkan kerana ia tidak boleh dimakan.
Sila pastikan bahagian tengah dan perut belangkas dibersihkan dengan teliti dan bebas daripada sebarang kekotoran.
Kemudian, potong belangkas tersebut menggunakan gunting mengikut selera masing-masing, sama ada mahu potong empat atau enam bahagian, itu terpulang kepada anda.
Pastikan juga bahagian kaki belangkas dibersihkan dan buang segala benda yang tajam.
Basuh hingga bersih dan masak belangkas dengan menggunakan proses stim.
Selamat mencuba!
Baca juga: ‘Confirm’ masak hari hari lepasni! 5 tips nak simpan pes, siap boleh tahan sampai 3 bulan lagi