Ramai sebenarnya yang amat menggemari makanan yang dinamakan nasi kandar ini lebih-lebih lagi andai berkunjung ke utara tanah air iaitu Penang.
Kuahnya yang banjir serta ayam goreng yang ranggup dapat memikat hati sesiapa sahaja yang tercium haruman bau makanan tersebut.
Menu ini, bagaimanapun, turut mempunyai kandungan kalori yang tinggi. Oleh itu, adalah penting untuk mengawal jumlah makanan yang diambil dari kedai ini supaya tidak melebihi keperluan kalori badan.
Jadi bagaimana cara nak makan nasi kandar dengan lebih sihat? Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, mari kita ikuti perkongsian Hello Doktor di bawah.
Nasi Kandar
Sebut sahaja nasi kandar, akan terbayang nasi kandar Penang dengan kuah campur banjir. Ini belum lagi soal pilihan lauk yang bermacam-macam, bermula daripada ikan sehinggalah kepada kambing.
Tidak kiralah yang mana satu pilihan restoran nasi kandar popular di Penang kegemaran anda, yang penting anda perlu berhati-hati sewaktu memesan lauknya.Ini kerana nasinya sendiri sudah tinggi kalori.
Ikuti 5 tips makan hidangan nasi kandar dengan lebih sihat:
1. Pilih protein dengan bijak
Apabila anda ingin memilih protein untuk dimakan dengan nasi, pilihan kurang lemak seperti ikan (ikan goreng atau kari ikan) merupakan lauk yang lebih sihat berbanding dengan hidangan lain. Ikan adalah sumber protein berkualiti tinggi yang sangat baik.
Ia kurang lemak dan mengandungi lebih sedikit kalori berbanding ayam atau daging. Namun, ini tidak bermakna anda tidak boleh menikmati hidangan ayam atau daging lembu kegemaran. Anda masih boleh makan lauk ayam bawang atau kari daging, tetapi ia mestilah dimakan dengan saiz yang sederhana sahaja.
2. Ambil lebih banyak sayur-sayuran
Ramai di antara kita membuat kesilapan dengan mengambil lebih banyak sumber protein dan kurang sayur-sayuran. Anda perlu tahu bahawa lauk sayur-sayuran seperti bendi celur, pajeri terung, dan kubis goreng kaya dengan nutrien penting dan serat. Ini boleh membuatkan anda kenyang lebih lama selain membantu penghadaman.
3. Kawal kuah campur nasi kandar anda
Kuah campur boleh dikatakan sebagai jantung dan jiwa hidangan ini.Walau bagaimanapun, kuah campur sebenarnya mengandungi kandungan gula, garam dan lemak yang tinggi.
Ia boleh menyumbang kepada tekanan darah tinggi dan peningkatan paras kolesterol apabila diambil secara berlebihan. Jadi, walaupun anda mungkin tergoda dengan campuran kuah ayam, ikan, dan kuah daging, cuba minta untuk kurangkan kuah pada nasi anda.
Anda juga boleh minta kuah yang berasingan dalam mangkuk kecil. Dengan cara ini, anda boleh meletakkan kuah secukupnya untuk menyedapkan hidangan anda tanpa berlebihan.
Selain itu, dengan meletakkan kuah secara berasingan, anda juga dapat mencicip rasa berbeza setiap lauk yang diambil.
4. Pilih beras perang jika ada
Nasi ini secara tradisinya didatangkan dengan nasi putih yang harum tetapi jika ada pilihan, pertimbangkan untuk menggantikan nasi putih dengan nasi perang.
Nasi perang bukan sahaja lebih banyak serat, tetapi ia juga tinggi dengan nutrien penting seperti magnesium, mangan dan selenium.
5. Perhatikan saiz nasi kandar anda
Kawalan saiz hidangan adalah kunci dalam mana-mana pengambilan makanan.Tidak mengapa untuk anda menikmati lauk kegemaran ketika makan nasi.
Namun perlu diingat, bahawa saiz hidangan di kedai mamak selalunya lebih besar daripada porsi yang sepatutnya.
Oleh itu, jika anda mahu memesan nasi ini, pastikan minta saiz hidangan yang kecil sahaja. Dengan cara ini, anda masih boleh menikmati pelbagai hidangan, tetapi dalam kuantiti yang lebih kecil dan lebih mudah diurus.
Ingat, kaedah ini bukan hanya mengenai had pengambilan makanan, tetapi juga untuk memastikan anda mendapat hidangan yang seimbang meliputi semua kumpulan makanan yang diperlukan.