Iqbal tepis dakwaan beli rumah RM5 juta sebab berduit, mengaku pernah hidup susah dulu

  • Post author:

Iqbal tepis dakwaan beli rumah RM5 juta sebab berduit, mengaku pernah hidup susah dulu. Anggap pembelian ini rezeki setelah berusaha lebih, dia sendiri pernah bekerja mencuci pinggan dan juga di pasar malam.

Selepas sebulan mencari rumah baharu, usahawan bergelar penyanyi dan juga pelakon, Ahmad Iqbal akhirnya dapat membeli sebuah kediaman mewah berharga RM5 juta yang terletak di penempatan elit di Bangsar, Kuala Lumpur.

Menurut Kosmo, Iqbal atau nama lengkapnya Ahmad Iqbal Zulkefli ketika dihubungi berkata, rumah banglo dua tingkat yang dilengkapi tujuh bilik itu terletak berhampiran dengan pusat beli-belah terkemuka, Mid Valley.

Rumah mahal sebab kawasan

“Alhamdulillah selepas sebulan, dan menilai lebih daripada 15 buah rumah, saya akhirnya bersetuju untuk membeli sebuah kediaman banglo dua tingkat di Bangsar berharga RM5 juta. Rumah tersebut tidaklah terlalu besar, cuma harganya mahal sebab kawasan (Bangsar).

“Rumah itu kalau disewa pun harganya sekitar RM20,000 sebulan,” ujarnya.

Ujar bekas peserta program Big Stage 2022 lagi, dia memilih Bangsar kerana lokasinya yang strategik dan terletak di tengah-tengah pusat bandaraya Kuala Lumpur.

“Pada awalnya saya mahu memberi rumah di kawasan Mont Kiara, tapi tiada dan akhirnya memilih kawasan Bangsar kerana dekat lokasinya yang strategik.

“Sebelum ini saya tinggal di Kajang dan memerlukan masa sehingga dua jam untuk ke Kuala Lumpur disebabkan kesesakan jalan raya. Buang masa dan duit minyak saya sahaja,” jelasnya yang akan berpindah ke rumah baharunya sekitar pertengahan Julai nanti.

Kata Iqbal, dia juga bercadang untuk melakukan sedikit pengubahsuaian pada rumah tersebut, namun bukanlah dalam masa terdekat kerana memerlukan modal yang besar sekitar RM1 juta sehingga RM2 juta.

“Saya akan buat ubah suai rumah, tapi bukan sekarang. Lagi pun banyak nak pakai duit. Saya bukan kaya seperti Datuk Alif Syukri atau Datuk Sri Vida,” katanya.

Pernah hidup susah

Dalam pada itu, Iqbal turut berpesan pada netizen yang mungkin akan bercakap dia mampu untuk membeli rumah tersebut kerana berduit, sedangkan dirinya juga pernah melalui hidup susah suatu ketika dahulu.

“Ada netizen komen, katanya tidak kisah saya mampu membeli rumah berharga jutaan ringgit sebab saya kaya. Tapi mereka lupa saya pernah hidup susah dahulu.

“Saya pernah cuci pinggan, kerja di restoran makanan segera dan di pasar malam. Rezeki saya lebih sebab usaha saya lebih. Kepada mereka yang mengecam saya, janganlah anggap kaya itu sebagai hina,” katanya.

Pada masa sama, Iqbal juga mahu mengubah persepsi masyarakat supaya tidak berfikir mahu hidup sederhana dan ‘cukup makan’ kerana menganggap sikap sebegitu sebagai pentingkan diri sendiri.

“Kalau kita berusaha dan ada rezeki lebih, sekurang-kurangnya kita dapat bantu orang lain yang susah dan jana ekonomi negara. Dapat juga membayar zakat lebih,” katanya.

Baca Juga: Tidak suka berkongsi kasih, Zara tak mahu hidup bermadu

Baca Juga: ‘Kurangkan sikit makan telur’, nasihat Pengarah KPDNHEP ini buat warganet melenting