Ismail nafi tak patuhi penjarakan sosial

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob menafikan apa yang didakwanya sebagai fitnah yang menuduhnya melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Ismail merujuk gambar dia bersama-sama Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali, speaker DUN Melaka Abd Rauf Yusof dan sejumlah yang lain yang disebarkan di media sosial.

“Beberapa gambar menjadi bahan fitnah terhadap saya dan ketua menteri Melaka serta speaker DUN Melaka sewaktu saya melakukan lawatan kerja ke Melaka Sabtu lepas.

“Kononnya tiada penjarakan sosial antara kami,” katanya di Facebook.

Menurut Ismail, pihak yang menyebarkan fitnah itu sengaja mengambil gambar daripada sisi untuk menunjukkan mereka duduk dalam keadaan rapat.

“Namun inilah gambar sebenarnya.

“Semoga Allah membuka hati-hati mereka ini supaya tidak lagi membuat fitnah kepada sesiapa jua selepas ini,” katanya lagi.

Dalam hantaran itu, Ismail mengongsikan beberapa gambar menunjukkan dia, Sulaiman dan Abd Rauf serta beberapa orang lagi duduk di satu meja yang sama.

Ismail bertanggungjawab menyampaikan talimat harian berhubung perkembangan Covid-19, termasuk berkenaan jumlah individu yang ditahan atau disaman kerana melanggar SOP pihak berkuasa.

Hantaran Ismail itu dipercayai sebagai maklum balas terhadap hantaran aktivis Fahmi Reza.

Semalam, Fahmi mengongsikan gambar memaparkan Ismail bersama beberapa pemimpin politik di acara tersebut diiringi komen bernada sarkastik:

“Kadang-kadang kita nampak dalam gambar yang ramai-ramai duduk meeting rapat-rapat keliling meja tu sebenarnya dalam masa yang berbeza-beza di tempat berbeza, tetapi dari segi teknologi moden gambar itu disatukan seolah-olah nampak meeting itu bersama.”