Ismail Sabri dan Hamzah mungkin dilantik sebagai PM,TPM – Sumber

Selepas perletakan jawatan perdana menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin, Umno difahamkan akan mencadangkan agar Datuk Seri Ismail Sabri dilantik sebagai perdana menteri yang baharu manakala Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai timbalan perdana menteri.

Menurut #Umno2021 yang berkicau melalui twitter malam tadi, cadangan itu akan dibuat bagi membolehkan kerajaan PN yang ada diteruskan dengan sokongan 114 ke 115 ahli Dewan Rakyat.

“Gandingan PM DSIS – TPM HZ?

“Difahamkan Umno akan mencadangkan nama DSIS sebagai PM dan akan disokong oleh semua 42 MP BN.

“Umno/BN akan menerajui kerajaan PN dengan 114 sokongan MP sehingga PRU15.

“#UmnoMemimpin,” kata #Umno2021 menerusi twitternya malam tadi.

#Umno2021 adalah akaun twitter yang dikawal oleh Umno dengan tagline “Bisik-bisik Menara Dato Onn” iaitu bangunan Umno yang menempatkan ibu pejabat Umno dan BN.

Selain Ismail, calon-calon PM yang dipertimbangkan Umno adalah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein atau Datuk Seri Najib Razak.

TPM pula selain Hamzah dicadangkan nama Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Timbalan Presiden Bersatu) atau Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Pengarah Pilihan Raya).

Mahiaddin dijadualkan akan menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada Yang Dipertuan Agong Isnin ini iaitu esok.

Ekoran itu, perlumbaan untuk mendapatkan perlantikan perdana menteri akan panas dengan masing-masing akan meyakinkan Yang Dipertuan Agong mereka mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Rancangan Umno ini akan berjaya jika kesemua MP Bersatu dan rakan kongsinya dari Pas, GPS dari Sarawak dan lain-lain bersetuju untuk menyokong Ismail Sabri atau mana-mana pemimpin Umno sebagai PM.

Sekarang ini, Bersatu mempunyai 31 MP, Pas (18), GPS (18), MCA (2), Bebas (4), PBRS,PBS, Star dan MIC masing-masing 1.

Umno pula mempunyai 38 MP tetapi berpecah dua iaitu 23 menyokong Mahiaddin dan 15 tidak menyokong.

Jika kesemua 38 MP Umno ini bersatu dan menyokong pencalonan Ismail Sabri dan Hamzah, PN akan mempunyai 100 + 15 MP iaitu 115 dari 220 MP dalam Dewan Rakyat, satu angka majoriti.

Lewat petang semalam Bersatu mengadakan mesyuarat mereka di rumah PM di Putrajaya dengan dipengerusikan oleh timbalannya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Namun begitu, jika kerajaan baharu PN ini berjaya ditubuhkan, ia masih akan menjadi kerajaan yang tidak stabil ketika negara memerlukan kerajaan yang stabil bagi melawan Covid-19.

Sebelum ini, Mahiaddin dalam ucapannya menawarkan pembangkang khasnya PH bekerjasama bagi menyekat kleptokrat kembali berkuasa.

Tawaran ini dikatakan tidak disenangi oleh pemimpin Umno dan Pas kerana mereka tidak dirundingi mengenainya.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya berkata, Pas menolak untuk bekerjasama dengan DAP dalam satu kerajaan.

Sebelum ini, PH sepakat menolak tawaran Mahiaddin namun sesetengah pemimpin DAP meminta agar PH berunding dahulu dengan Mahiaddin.

sumber : https://malaysiadateline.com/umno-akan-cadang-ismail-sabri-pm-hamzah-zainudin-tpm/