Isteri jual bayi umur 10 hari di Facebook, suami pula ingat kena culik

Lumrah setiap pasangan yang telah berkahwin semestinya mengimpikan zuriat mereka sendiri sebagai penyeri. Ada pasangan yang menanti bertahun-tahun tetapi masih tidak diberi rezeki zuriat.

Lain pula jadinya dengan sepasang suami isteri ini apabila bayi mereka telah dijual oleh si isteri. Si isteri telah menjual bayi mereka tanpa pengetahun si suami dengan nilai RM2437.80 (8 juta Rupiah). Si suami yang menyedari kehilangan bayi mereka yang baru berusia 10 hari itu telah bertindak melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis.

Memetik laporan Tribun News, seorang bapa di Jambi, Indonesia melaporkan kes penculikan anaknya kepada pihak polis pada Ahad lalu selepas didapati hilang dari dalam bilik tidurnya kira-kira jam 6 pagi.

Wanita yang berada dalam kesempitan wang itu difahamkan telah mengiklankan anaknya menerusi media sosial Facebook sebelum bayinya lahir lagi.  Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Jambi, Kompol Indar Wahyu Dwi, ibu kandung bayi serta pasangan ibu bapa angkat bayi tersebut telah ditahan oleh pihak polis kerana telah melanggar Akta Perlindungan Kanak-Kanak.

Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan bahawa bagi proses pengambilan anak angkat, ianya perlu melalui keputusan mahkamah dengan mengikut saluran yang betul. Bagaimanapun, ibu kandung bayi tersebut tidak mengetahui tentang proses berkenaan.

Sementara itu, polis berkata pasangan ibu bapa angkat bayi tersebut mengambil keputusan untuk membeli bayi berkenaan kerana mereka belum dikurniakan anak walaupun sudah lama berkahwin.

Susulan itu, wanita tersebut telah ditahan dan anaknya kini dilaporkan selamat di bawah jagaan bapa kandungnya serta keluarga. Bagaimanapun, bayi itu perlu dibawa ke balai polis setiap hari disusukan ibunya.

Baca juga: Bayi kembar 9 sambut ulangtahun pertama