Isu 1MDB jadikan hubungan saya dengan Najib keruh, dedah Nazir

Kritikan serta persepsi negatif berterusan terhadap 1MDB, menjadikan hubungan dengan Datuk Seri Nazir Tun Razak dan abangnya, Datuk Seri Najib keruh, dedah bekas Pengerusi Kumpulan CIMB itu dalam memoirnya.

Mengimbas kembali peristiwa yang berlaku sekitar 2009 hingga 2011 itu, Nazir berkata, keadaan itu pada satu tahap menjadikan 1MDB sebagai subjek yang ‘taboo’ antara dua beradik itu.

Malah, tambah Nazir lagi, abangnya sendiri membuat sindiran bahawa dirinya seakan-akan cemburu dengan Jho Low atau tidak menyukai ahli perniagaan itu atas sebab-sebab peribadi.

“Ketika 1MDB terus beroperasi, hubungan saya dengan Najib seakan-akan tegang. Saya tidak akan akan gambarkan perkara tersebut lebih daripada itu. Kritikan saya terhadap penerbitan bon TIA menjadi corak yang berulang antara 2009 hingga 2013, sehingga saya curiga dengan 1MDB.

“Pada permulaannya, abang saya menerima teguran dan memberitahu tindakan akan diambil (untuk membetulkan salah laku pengurusan 1MDB), tetapi tiada apa pun berlaku. Lama kelamaan, Najib menjadi semakin kurang sabar dengan kritikan saya,” dedah Nazir lagi.

Pengasas firma Ikhlas Capital itu berkata demikian dalam memoirnya bertajuk ‘What’s in a Name’, dalam bab bertajuk ‘Something Fishy’ yang memperincikan keraguan beliau terhadap penubuhan 1MDB, serta hubung kait dengan abangnya, Najib.

Biografi setebal 358 muka surat itu, memperincikan pengalaman Nazir dalam membangunkan CIMB sebagai institusi berperanan membawa Asean keluar dari Asian Financial Crisis.

Selain itu, terdapat juga bab-bab di mana Nazir berusaha menjunjung legasi ayahnya Tun Abdul Razak serta perkongsian tentang penubuhan 1MDB yang akhirnya menyebabkan kejatuhan abangnya, Najib.

Berkongsi lanjut, Nazir berkata, sudah semestinya Najib mempunyai segala hak untuk tidak mendengar pandangan beliau dan sudah semestinya Najib bukan individu paling berkuasa yang tidak mendengar pandangan ahli keluarganya sendiri.

“Saya sangat berharap keraguan saya terhadap 1MDB adalah salah. Ketika itu Najib seperti sedang mewujudkan pusat baharu tentang politik di tanah air serta di seluruh negara dan saya begitu mahu menyokongnya.

“Bukan sahaja kerana beliau adalah abang sulung saya, tetapi juga kerana beliau menjanjikan reforms yang pada pandangan saya, sangat diperlukan ketika itu.

“Fakta (bagaimanapun) menunjukkan 1MDB menjadi penipuan kewangan yang besar, sekali gus menunjukkan sistem sedia ada semakin gagal. Di tengah-tengah kegagalan itu, situasi menunjukkan Perdana Menteri terlampau berkuasa, dan boleh melepaskan diri daripada penelitian orang sekeliling atau masyarakat sendiri,” katanya lagi.

Individu sekeliling

Selain itu, Nazir berkata, individu di sekeliling Perdana Menteri juga sangat berkuasa, dan sukar sekali untuk menyemak perbuatan mereka kerana sering bertindak di sebalik nama Perdana Menteri.

Tambahnya lagi, penipuan (1MDB) itu sukar dilihat dengan jelas, tetapi dijadikan seolah-olah munasabah dengan sokongan antara institusi kewangan swasta terkemuka di dunia – Goldmand Sachs – termasuk juga kaitan dengan tokoh perniagaan terkemuka dunia dalam barisan Lembaga Penasihat.

“Lembaga Pengarah 1MDB ada kesangsian, tetapi tidak menyuarakannya, pihak berkuasa memilih untuk tidak melihat dengan terlalu dalam. Pegawai biasa terlalu takut dengan Perdana Menteri dan kuasanya.

“Skandal 1MDB pergi begitu sahaja ketika Najib berada di puncak kuasa yang terlampau berpusat. Beliau bekerja keras untuk sampai ke puncak. Dan ia difahami makna sebenar perkara itu kepada beliau,” kata Nazir lagi.

Ini merupakan antara siri pendedahan bekas Pengerusi Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Tun Razak berkenaan 1MDB dalam memoirnya, What’s in a Name’ yang dilancarkan pada 8 November lalu.

sumber : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/whats-name-1mdb-subjek-taboo-najib-fikir-saya-cemburu-dengan-jho-low-nazir-330099

COMMENTS