Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) akan menjalankan siasatan dengan lebih terperinci disebabkan dakwaan peniaga muslim di Sungai Ara yang dikatakan mengambil bekalan ayam dan itik di premis bangsa lain.
Jurucakap JHEAIPP berkata, pihaknya sudahpun menjalankan siasatan berhubung perkara itu semalam lapor Kosmo! Online.
“Namun semakan dengan lebih terperinci perlu dijalankan lagi bersama beberapa agensi lain terhadap peniaga berkenaan hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai dakwaan peniaga Muslim di Sungai Ara yang mengambil bekalan nasi ayam dan nasi itik di kedai peniaga bukan Islam di Paya Terubong.
Dakwaan itu telah mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna terutama pelanggan Muslim kerana merasakan mereka telah ditipu tentang status halalnya.
Walaupun peniaga sudah tampil menjelaskan, ramai umat Islam masih was-was mengenai hal tersebut dan berharap supaya ia disiasat agar tidak mendatangkan fitnah serta makanan yang dimakan mereka adalah daripada sumber yang halal.
Baca Juga: Ramai tertanya-tanya kapal layar mewah RM200 juta singgah di Perlis milik siapa, ini jawapannya