Jabatan Perhutanan Pahang (JPNP) telah bertindak atas aduan orang ramai terhadap gambar sebuah lori treler yang mengangkut kayu balak besar yang “mencurigakan” di kawasan rehat Lebuh Raya Pantai Timur menghala Barat, di Temerloh Pahang, semalam.
Jabatan itu dalam satu kenyataan bagaimanapun mengatakan bahawa daripada pemeriksaan, berdasarkan hantaran pengguna Facebook Khaidir Ahmad, mereka mendapati kayu itu tidak diambil dari mana-mana kawasan hutan di Pahang.
“Hasil pemeriksaan juga mendapati, maklumat lori dan kayu yang dibawa bersamaan dengan yang dinyatakan dalam pas pemindah yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.
“Difahamkan bahawa, muatan ini akan dihantar ke sebuah kilang di Selangor,” kata JPNP.
JPNP juga mengatakan pihaknya menghargai aduan masyarakat yang membolehkan tindakan pantas diambil.
Ketika dihubungi, Khaidir juga mengatakan bahawa dia menyambut baik reaksi JPNP yang cepat dan “tidak emosional” untuk menjelaskan perkara-perkara itu.
Dia juga berkata kini tanggungjawab Jabatan Perhutanan Terengganu untuk mengeluarkan kenyataan.
“Saya berpuas hati dengan kenyataan profesional dan tidak emosional, yang juga menghargai usaha kami untuk membuat aduan.
“Tetapi sekarang giliran Terengganu untuk memberi komen … Rakyat sedang tunggu,” katanya.
Berdasarkan pemerhatian peribadinya, Khaidir mengenal pasti kayu itu berasal dari pokok Chengal yang dianggarkan berusia sekurang-kurangnya 500 tahun.
“Seharusnya tidak ditebang dan malah dilindungi sebagai khazanah negara untuk generasi akan datang.
“Pokok Chengal hampir pupus di Malaysia,” kata bekas wartawan penyiaran itu kepada Malaysiakini.
Dalam catatan Facebook yang berasingan, Khaidir, yang pada pilihan raya umum ke-14 yang lalu bertanding sebagai calon Bebas untuk P88 Temerloh dan N31 Lanchang, juga memberi respons kepada Exco Pahang, Shahaniza Shamsuddin yang mengulas isu itu.
Shahaniza dalam siaran di Facebook menyifatkan hantaran yang dibuat Khaidir mengenai perkara itu sebelum ini sebagai “fitnah”.
Shahaniza yang juga Adun Sentul menyatakan bahawa catatan Khaidir telah dikongsi lebih dari 3,000 kali dan telah menimbulkan pelbagai persepsi terhadap kerajaan negeri Pahang.
“Menuduh posting saya sebagai satu fitnah adalah tidak betul dan berniat jahat kerana saya tidak membuat sebarang tuduhan tetapi sekadar bertanya dan meluahkan kemusykilan sebagai rakyat biasa apabila melihat dengan mata sendiri mengenai sesuatu yang luarbiasa dan mencurigakan.
“Sebagai seorang wakil rajkyat, saudari perlu bersikap profesional dan bukannya emosional dalam menyantuni suara aduan rakyat,” katanya.
sumber : https://www.malaysiakini.com/news/575884