Seramai 733 pekerja Bangladesh yang dibawa ke negara ini untuk bekerja di Pengerang, Johor menerima tunggakan gaji lebih RM1 juta.
Menurut Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung (JKTSM) selepas pihaknya melaksanakan prosiding pendengaran kes tuntutan buruh tidak diberi pekerjaan seperti dijanjikan selepas dibawa masuk ke negara ini.
Katanya, prosiding berkenaan dilaksanakan pegawai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Johor dengan kehadiran majikan dan pekerja serta disaksikan pegawai Kedutaan Bangladesh, Isnin lalu.
“Kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama dengan pembayaran gaji sejumlah RM1,035,557.50 kepada pekerja berkenaan.
“KSM menegaskan pekerja yang dibawa masuk dan tidak diberikan pekerjaan masih menjadi tanggungjawab majikan untuk membayar gaji pekerja seperti ditegaskan Menteri Sumber Manusia pada 16 Januari 2024 semasa mengulas mengenai kes ini.
“Pihak syarikat juga akan menempatkan pekerja terbabit kepada majikan baharu melalui Proses Pertukaran Majikan (PTM) Khas yang akan dibantu JTKSM,” katanya.
Pada 16 Januari lalu, JTK Johor dilapor sudah melengkapkan 13 kertas siasatan berhubung isu majikan menipu pekerja asing yang berlaku di Pengerang, Johor.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, dilaporkan berkata kertas siasatan itu membabitkan pelanggaran mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, mendedahkan terdapat kira-kira 2,500 pekerja asing ditipu majikan yang berada di Pengerang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang dilaporkan berkata, Malaysia sudah tidak boleh bertolak ansur dengan pencabulan hak asasi manusia, termasuk dalam sektor perniagaan dan tiba masa untuk mengambil tindakan tegas terhadap perniagaan tidak bertanggungjawab.
Baca juga: Anak bekas KM Sarawak ‘bongkak’ lap mulut guna duit selepas makan burger