Sebuah laporan dari akhbar KhaoSod menyatakan bahawa seekor gajah di wilayah Tak, utara Thailand, menikam tuannya hingga mati menggunakan gadingnya selepas ia dijual kepada pemilik baru.
Lelaki yang berusia 57 tahun itu yang dikenali sebagai Pha Phi Du Lerttikhamphon mati akibat dirodok dan dipijak oleh Pha Tulu iaitu seekor gajah jantan yang dibelanya.
Gajah tersebut mahu dihantar ke wilayah Surin kepada pemilik baru namun ia enggan menuruti perintah tuannya.
Ia sebelum itu dijual pada harga 2,760,000 baht (RM365,600).
Pha Tulu dikatakan mengamuk dan merodok mangsa dengan gadingnya dan memijak hingga mati namun tetap menjaga mayat tuannya hingga polis tiba.
Pihak polis yang tiba terus meminta bantuan dari Yayasan Pemuliharaan Gajah Chiang Mai dan Unit Penyelamat Yayasan Petchkasem Tha Song Yang untuk mengendalikan Pha Tulu sebelum mengeluarkan mayat Pha Phi Du.
Haiwan tersebut kemudian ditembak menggunakan ubat pelali dan dibawa ke Surin.