“Jangan aniaya frontliners”, kata Dr Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah memberi amaran agar orang ramai tidak menipu mengenai status kesihatan mereka semasa berurusan dengan petugas barisan hadapan negara.

Noor Hisham mengulas perkara itu ketika berkongsi hantaran daripada seorang doktor di Johor yang mengatakan dia kini positif Covid-19 selepas mempunyai kontak rapat dengan seorang pesakit yang tidak memaklumkan gejala dihadapi sebelum menjalani pemeriksaan tomografi berkomputer (CT scan).

Menyertai amaran itu ialah peringatan Noor Hisham kepada orang ramai mengenai hak anggota barisan hadapan.

“Jangan tipu frontliners. Kami juga perlu dilindungi, kami ada keluarga, ada rakan-rakan. Jangan aniaya frontliners,” tulis Noor Hisham di Facebook hari ini.

Menurut hantaran yang dikongsi oleh Noor Hisham, doktor tersebut ditugaskan untuk melakukan pemeriksaan CT scan ke atas pesakit yang hadir ke hospital tanpa sebarang gejala berkaitan Covid-19.

Bagaimanapun, doktor tersebut berkata pesakit itu mengaku mempunyai demam dan batuk selama seminggu sebelum janji temu tersebut berlangsung.

Namun, maklumat berkenaan hanya diberikan selepas gambar imbasan CT menunjukkan keadaan paru-parunya serupa dengan pesakit positif Covid-19.

“Apabila ditanya semula, akhirnya dia mengaku yang dia batuk dan demam selama seminggu tetapi berasa sedikit sihat untuk datang ke temu janji CT. Allahu.

“Ternyata tindakannya menyusahkan orang lain. Pesakit disahkan positif Covid selepas dua hari,” kata doktor terbabit melalui perkongsian berkenaan.

Memandangkan pesakit dan doktor itu memakai pelitup muka dan pesakit tidak batuk di hadapannya, doktor tersebut pada mulanya dikategorikan sebagai kontak berisiko rendah.

Namun kerana berasa tidak sedap hati, dia melakukan kuarantin di rumahnya dan menjalani ujian swab meskipun diberitahu ia tidak diperlukan buat masa itu.

Namun kata doktor terbabit dia sempat bekerja selama dua hari sebelum menjalani kuarantin dan itu menyebabkan dia khuatir turut memudaratkan petugas kesihatan yang lain.

Katanya, dia mempunyai kontak rapat dengan pesakit selama kira-kira 15 minit dan mengamalkan SOP.

Selasa lalu, Noor Hisham berkata bahawa seramai 1,880 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19.

Minggu lalu, virus itu dikesan dalam kalangan petugas kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, Hospital Serdang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang dan Hospital Selayang.

Pada 18 Dis lalu Noor Hisham berkata 280 petugas sedang menerima rawatan di hospital manakala 1,697 petugas kesihatan di seluruh negara sedang menjalani perintah pemerhatian dan pengawasan (HSO) sama ada di kediaman atau di stesen kuarantin.

sumber: https://www.malaysiakini.com/news/556679