Persatuan Badminton Malaysia (BAM) digesa untuk tidak memberi muka kepada pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang membuat keputusan untuk meninggalkan badan induk itu.
Memetik dari Bharian, Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek, berkata BAM perlu mengambil tindakan tegas terhadap pemain berusia 23 tahun berkenaan bagi mengelak ia menjadi ikutan pemain yang lain.
“BAM ada kuasa untuk ambil tindakan, kalau perlu kenakan hukuman gantung tidak boleh menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa bagi tempoh tertentu, BAM kena buat.
“Jika BAM masih bertolak ansur, saya bimbang selepas ini lebih ramai pemain yang akan bertindak meninggalkan badan induk itu. Perkara ini tidak boleh dibiarkan berlaku sehingga menjadi budaya.
“BAM perlu tegas dengan keputusan mereka, jika tidak orang tidak akan hormat BAM sebagai persatuan yang bertanggungjawab terhadap sukan badminton di negara ini,” kata Rashid kepada BH Sukan.
Semalam, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan badan induk itu ada menerima surat peletakan jawatan daripada Zii Jia pada 11 Januari lalu.
Bagaimanapun, keputusan sama ada BAM menerima atau sebaliknya peletakan jawatan berkenaan hanya akan diumumkan Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos pada Jumaat ini.
BAM mempunyai kuasa untuk menggantung Zii Jia daripada menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa jika dia meninggalkan badan induk berkenaan apatah lagi dia dilihat sebagai aset negara dan banyak pelaburan sudah dibuat ke atas dirinya.
Bagaimanapun, BAM juga sebelum ini turut mengambil pendekatan bertolak ansur dan membenarkan pemain bergerak secara profesional.
Mengulas lanjut, Rashid yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996 mengingatkan juara Seluruh England 2021 itu agar tidak lupa daratan selepas pelaburan besar dilakukan BAM ke atas dirinya sejak peringkat remaja lagi.
“Dulu bila dia masih di bawah, siapa yang jaga dia? Bila sekarang sudah berada di atas, jangan pula cakap yang dia bagus sebab diri sendiri.
“Dia kena ingat siapa rakan sepelatih dia, jurulatih dia, di mana dia tinggal dan makan minum dia siapa yang jaga.
“Kalau duit menjadi masalah utama, saya percaya perkara ini boleh dibawa berbincang bersama BAM. Lagipun, dia tidak boleh bandingkan apa yang dia dapat dengan apa yang Datuk Lee Chong Wei (bekas jaguh perseorangan lelaki negara) ketika bergelar pemain.
“Chong Wei mendapat keistimewaan daripada BAM selepas dia meraih pelbagai kejuaraan selain memegang status sebagai pemain nombor satu dunia untuk tempoh beberapa tahun. Zii Jia pula, kerjayanya baru mahu bermula dan baru ada dua atau tiga kejuaraan.
“Jika mahu keistimewaan seperti Chong Wei, dia perlu buktikan dulu kredibilitinya,” katanya.