Memahami kemarahan netizen berkenaan isu boikot, pelakon Scha Alyahya menegaskan bahawa tiada sesiapa yang berhak menghukum pekerjaan dan rezeki seseorang sehingga menggalakkan penggunaan caci maki secara berlebihan.
Ujar Scha, atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Mahadzir Al-Yahya, 41 tahun, menekankan bahawa sikap suka menyebarkan kebencian tidak seharusnya berlaku hanya kerana seseorang tidak sehaluan dengan mereka.
“Siapa kita untuk jatuh hukum pada kehidupan dan rezeki seseorang? Jangan kita tanam kebencian dan sebar permusuhan hanya kerana tidak sealiran dengan anda.
“Caci maki dan hinaan itu adakah dihalalkan? Jangan lupa, dosa sesama manusia,” katanya menerusi Instagram Story miliknya.
Scha turut menekankan dirinya tiada kuasa untuk menolak rezeki yang telah dikurniakan kepadanya.
“Setiap seorang daripada kita sudah ditetapkan rezekinya oleh Allah. Baik saya, keluarga saya atau anda semua.
“Apa pun pekerjaan yang kita buat, itu jugalah rezeki yang sudah diaturkan. Tapi siapa kita untuk menidakkan ketentuan Allah,” ujarnya tegas.
Semalam, gerakan memboikot artis tempatan secara besar-besaran telah menyebabkan nama isteri kepada selebriti Awal Ashaari itu mendahului carta yang teratas.
Selain pelakon drama Awan Dania itu, beberapa artis terkenal Malaysia juga disenarai seperti Nadhir Nasar, Nabila Razali, Mira Filzah, Siti Saleha, Neelofa, dan Awal Ashaari.
Baca juga: 5 Adun Bersatu Selangor akan sokong kerajaan perpaduan?