Jangan boikot McDonald’s Malaysia kerana rangkaian makanan segera itu tidak memberi sumbangan kepada Israel, demikian menurut Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Beliau berkata rakyat di negara ini dinasihatkan tidak memboikot McD kerana pihak pengurusan syarikat itu sudah menegaskan mereka tidak memberi sebarang sumbangan kepada Israel.
Malah katanya, orang ramai yang mahu melakukan tindakan memboikot mana-mana syarikat didakwa berkaitan dengan Israel mestilah berdasarkan bukti jelas dan meyakinkan, bukan sekadar sangkaan atau andaian semata-mata.
“Perlu dijelaskan bahawa McDonald’s Malaysia tidak termasuk antara syarikat yang perlu diboikot kerana pihak pengurusannya sudah memberi penjelasan, selain itu syarikat berkenaan juga mengeluarkan zakat menerusi pejabat urus zakat di beberapa negeri.
“Dalam membela pihak yang teraniaya jangan pula sampai menganiaya pihak yang lain, jadi sebagai umat Islam kita hendaklah menegakkan keadilan walaupun terhadap orang bukan Islam.
“Ini kerana nilai keadilan yang diperintahkan agama Islam supaya ditegakkan adalah bersifat sejagat, bukan kepada masyarakat Islam sahaja,” katanya kepada Harian Metro.
Justeru, beliau mengingatkan, apa pun tindakan boikot mestilah berdasarkan bukti yang jelas dan meyakinkan, tidak berlandaskan sekadar sangkaan yang akhirnya boleh mengakibatkan pihak lain teraniaya.
Beliau dipetik berkata, tidak salah jika seorang Islam yang tiada peluang pekerjaan lain dan hanya syarikat produk Israel sahaja menjadi sumber pendapatan, maka dibenarkan bekerja di situ berdasarkan hukum darurat.
“Namun di Malaysia terdapat banyak peluang pekerjaan yang tersedia, hanya perlu rajin mencarinya,” katanya.
Semalam akhbar melaporkan nasib kira-kira 21,000 pekerja McDonald’s Malaysia susulan kempen boikot terhadap restoran khidmat segera memandangkan dakwaan bahawa jenama itu terbabit dalam penyaluran kewangan ke negara ketiga.
Mereka juga dilabel sebagai pendukung Yahudi dan menerima pelbagai cemuhan serta cacian masyarakat.