Jangan kena sembelit masuk raya ketiga, doktor ini kongsi 6 panduan pemakanan sihat ketika beraya

Kalau sepanjang raya pertama dan kedua melantak tak ingat dunia, anda berisiko mengalami masalah sembelit.

Mana tidaknya juadah raya adalah lambakan makanan yang tinggi karbohidrat dan lemak dengan hidangan yang ‘terlupa’ makanan tinggi serat seperti sayuran dan buah-buahan.

Pensyarah Kanan dan Pakar Dietetik Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas (iCaRehab), Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Nur Hana Hamzaid ada berkongsi tip pemakanan sihat ketika beraya, memetik laporan Relevan.

Ini 6 panduan pemakanan sihat ketika beraya mengikut nasihat Dr Nur Hana:

1) MINUM AIR PUTIH/TIDAK BERGULA

Ketika beraya kita tidak boleh elak untuk makan makanan yang berkalori tinggi seperti rendang, lemang, ketupat dan lodeh.

Maka, solusi terbaik adalah minum air putih. Kita boleh bawa bekal air putih itu ke mana-mana sahaja ataupun minta tuan rumah sediakan.

Langkah ini boleh mengawal pengambilan kalori kerana satu gelas air manis mengandungi kira-kira 150 hingga 200 kcal.

2) GUNAKAN PINGGAN/ MANGKUK KECIL

Ambil pinggan atau mangkuk yang kecil untuk meletakkan makanan kerana secara tidak langsung kita akan cenderung makan sedikit sahaja.

Boleh ambil macam-macam makanan tetapi dengan kadar sedikit. Ingat, banyak lagi rumah yang hendak dikunjungi. Kalau perut terlalu penuh nanti tiada ruang untuk merasa makanan lain.

3) BAHAGIKAN WAKTU MAKAN UTAMA DAN SNEK

Makanan raya sangat tinggi kalori. Contohnya, kuah lodeh satu senduk bersamaan 130 kcal dan sudah semestinya paling sikit kita ambil empat hingga lima senduk.

Itu belum lagi masuk rendang, nasi beriani, ketupat dan lain-lain.

Oleh itu, anda perlu jadualkan waktu makan kepada waktu makan utama seperti sarapan, makan tengah hari dan makan malam serta snek.

Untuk setiap waktu makan utama hadkan kepada 500 kalori sahaja makanan berat. Kalau tiga kali makan sudah jadi 1,500 kcal.

Kalori selebihnya boleh diperuntukkan untuk makanan ringan seperti biskut dan kuih raya.

4) RANCANG PERJALANAN RAYA

Sudah semestinya perancangan sangat penting supaya pengambilan kalori tidak berlebihan.

Sebagai contoh, kita perlu rancang nak sarapan di rumah siapa? Begitu juga makan tengah hari dan makan malam.

Setiap rumah yang kita pergi ada juadah Istimewa masing-masing, maka dengan cara ini kita dapat jimat kalori dan dapat nikmati pelbagai juadah raya yang sangat enak tanpa rasa bersalah.

Mungkin rumah seterusnya anda boleh minum petang sahaja seperti makan kuih, biskut atau kerepek. Sebiji kuih mengandungi kira-kira 50 hingga 60 kcal manakala satu keping rempeyek sebanyak 85 kcal.

5) SURVEY DULU MAKANAN, AMBIL MAKANAN TINGGI SERAT

Jangan gelojoh, survey dulu makanan. Ambil juadah yang kita teringin dan sentiasa kawal porsi.

Tidak perlu makan semua. Mulakan dengan makanan tinggi serat (sayur dan buah) contohnya, pecal dan buah potong. Dengan makan serat yang banyak akan membuatkan kita cepat berasa kenyang.

6) SEDIAKAN PILIHAN MAKANAN RENDAH KALORI

Tuan rumah juga dinasihatkan agar menyediakan pilihan makanan yang rendah kalori seperti asam laksa dan soto di samping makanan berat yang lain.

Kita sebagai tetamu hendak merasa-rasa sahaja. Kita menjamah makanan itu sebagai menghormati tuan rumah.

Harus diingat, makanan daripada karbohidrat ringkas seperti air manis dan kuih-muih manis membuatkan kita cenderung untuk craving (tidak puas makan).

Tanpa kita sedar pengambilan kalori bertambah.

BACA JUGA Hairan pembangkang sentiasa dapat yang mahal, padahal tiga barang ini masih murah