Jangan start kereta lepas banjir, boleh pakai tips ni untuk minimumkan kerugian

Anda mesti ada baca berita pasal banjir yang berlaku di 4 buah negeri, Selangor, Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan dan Melaka baru-baru ni. Pening bila dengar banyak kereta dan motosikal tenggelam/rosak sebab ni. Paling teruk bila banjir ni jadi kat kawasan yang kita tak pernah sangka boleh jadi teruk macam kat Taman Sri Muda, Shah Alam.

Terbaru beberapa kawasan di sekitar ibu kota Kuala Lumpur pula mengalami banjir kilat sehingga menenggelamkan rumah dan kereta orang awam. Ini apa yang anda perlu tahu untuk meminimumkan kerugian selepas banjir terutama berkaitan kereta anda.
Kereta tenggelam banjir: Kereta banjir apa perlu buat untuk minimumkan kerugian?

Sekiranya anda tinggal di kawasan yang berisiko untuk dinaiki air atau terdedah kepada risiko banjir kilat, anda boleh praktikkan langkah-langkah berikut sekiranya kenderaan anda ditenggelami banjir untuk membantu minimumkan kerugian dan kurangkan kos pembaikan kereta anda.

1. Simpan bukti bergambar, Hubungi insurans kereta

Perkara pertama yang anda perlu lakukan ialah hubungi syarikat insurans anda untuk maklumkan insiden kereta banjir. Ada beberapa syarikat insurans menawarkan perlindungan banjir dalam polisi perlindungan komprehensif yang ditawarkan. Selain itu, simpan bukti bergambar bagi memudahkan proses tuntutan insurans banjir dilakukan.

2. Kenal Pasti Paras Air Banjir

Bila banjir mula surut dan situasi kembali selamat, perkara pertama yang anda perlu lakukan ialah periksa paras atau kedalaman air banjir yang menenggelamkan kereta anda.

Biasanya, air banjir akan meninggalkan kesan lumpur atau selut pada bahagian dalaman atau luaran kereta seperti kusyen, bumbung kereta, dashboard dan sebagainya. Ia sekali gus boleh membantu syarikat insurans untuk menilai tahap kerosakan berdasarkan paras air yang menenggelamkan kereta anda.

3. Jangan Start Enjin Kereta

Sekiranya kereta anda tenggelam sepenuhnya semasa banjir, jangan sesekali hidupkan enjin kereta anda. Ini kerana, ia berpotensi menyebabkan berlaku lintar pintas yang boleh menyebabkan kerosakan yang lebih serius dan dalam sesetengah situasi, ia mungkin boleh membahayakan nyawa anda.

Biasanya, komponen kereta yang tenggelam banjir berisiko untuk rosak. Apa yang boleh anda lakukan ialah cabut bateri kereta atau gunakan perkhidmatan trak tunda untuk membawa kereta anda terus ke bengkel atau panggil mekanik ke rumah untuk memeriksa kereta anda.

4. Periksa Enjin atau Gearbox Kereta

Setelah tiba di bengkel, lakukan pemeriksaan terhadap enjin atau gearbox kereta anda terlebih dahulu. Periksa paras minyak enjin atau minyak gear menggunakan dipstick – jika amaun minyak hitam atau minyak gear melebihi amaun sepatutnya, ini bermaksud enjin kereta anda sudah dimasuki air.

Anda disarankan untuk lakukan flushing dengan ulangan tiga (3) hingga lima (5) kali bergantung pada nasihat mekanik anda. Minyak enjin dan minyak gear yang telah bercampur dengan air perlu dikeluarkan dan digantikan dengan minyak baharu untuk mengurangkan risiko kerosakan pada enjin.

5. Keringkan Komponen Kereta

Apabila kereta ditenggelami air banjir, sudah semestinya bahagian dalaman kereta turut terjejas. Mana-mana komponen dalam kereta yang boleh ditanggalkan seperti radio dan sebagainya boleh dikeluarkan untuk dibersihkan dan dikeringkan.

Anda juga boleh cuci kereta dengan semburan air deras terutamanya di bahagian yang sukar untuk dibersihkan seperti enjin, tayar dan brek kereta.

Meskipun begitu, elakkan daripada melakukan semburan air deras secara terus ke arah lubang penapis udara dan penutup minyak pelincir kerana ia berpotensi merosakkan komponen ini.

Selain itu, bersihkan sebarang kotoran atau lumpur pada kusyen kereta – pastikan ia kering sepenuhnya untuk elakkan kusyen daripada berbau hapak.

6. Lakukan Petrol Flushing (Jika Perlu)

Kedudukan tangki minyak kereta yang rendah juga membolehkan air banjir memasuki ruang tangki. Jika anda mendapati terdapat kemungkinan air banjir memasuki tangki minyak, keluarkan minyak petrol yang telah bercampur dengan air untuk mengelakkan kerosakan enjin yang lebih serius. Jika perlu, dapatkan nasihat daripada mekanik anda untuk lebih kepastian.

Ramai yang tidak membuat caruman perlindungan bencana alam merangkumi antaranya banjir dan tanah runtuh untuk harta benda termasuk kediaman serta kenderaan bermotor, justeru kedudukan kewangan mereka bertambah sukar ketika dilanda insiden luar jangkaan seperti banjir.

Insurans Kereta: Perlindungan Tambahan Bencana Alam ‘Special Perils’

Perlindungan insurans komprehensif merupakan antara polisi insurans yang menjadi pilihan kebanyakan pemilik kereta di Malaysia. Ia merangkumi kerosakan atau kehilangan kenderaan disebabkan oleh kecurian atau kebakaran, kerosakan disebabkan oleh kemalangan, kematian atau kecederaan ke atas pihak lain dan kerosakan ke atas harta benda pihak lain.

Selain perlindungan ini, terdapat perlindungan tambahan yang dikenali sebagai special perils – perlindungan khas sekiranya berlaku kerosakan kenderaan disebabkan bencana alam seperti banjir, taufan, pokok tumbang disebabkan ribut petir, tanah runtuh dan lain-lain yang berkaitan.

Insurans Kereta: 6 Cara Claim Insurans Kereta Banjir

Sekiranya kereta anda dilindungi oleh perlindungan tambahan bencana alam, berikut merupakan cara untuk membuat tuntutan insurans banjir untuk memudahkan urusan anda.

1. Hubungi pihak insurans

Sekiranya anda berdepan situasi kereta tenggelam banjir, anda perlu maklumkan insiden tersebut kepada pihak insurans anda. Jika perlu, dapatkan bantuan perkhidmatan trak tunda untuk membawa kereta anda ke bengkel berhampiran.

Anda tidak digalakkan untuk menghidupkan enjin kereta anda sekiranya kereta masuk air banjir kerana ia mungkin boleh menyebabkan risiko kerosakan lain yang lebih serius.

2. Kumpulkan bukti berkaitan

Selain itu, anda juga perlu kumpulkan bukti berkaitan untuk memudahkan proses tuntutan. Kebanyakan syarikat insurans memerlukan dokumen sokongan dan bukti yang berkaitan dalam urusan claim insurans kereta seperti berikut:

  1. Catat lokasi, masa dan tarikh insiden banjir berlaku;
  2. Ambil gambar kerosakan kereta masuk air banjir;
  3. Sediakan salinan lesen memandu, kad pengenalan, geran kereta dan polisi insurans (atau cover note) untuk rujukan;
  4. Butiran atau dokumen sokongan lain (jika perlu).

3. Buat laporan polis

Sekiranya situasi mengizinkan, anda perlu membuat laporan polis secepat mungkin. Laporan polis perlu dibuat dalam tempoh 24 jam selepas insiden berlaku. Meskipun begitu, laporan polis masih diterima selepas tempoh 24 jam sekiranya anda mempunyai alasan yang munasabah.

4. Serahkan borang tuntutan

Jika segala dokumen dan bukti yang diperlukan sudah lengkap, serahkan borang tuntutan kepada ejen insurans atau syarikat insurans kereta anda. Biasanya, pihak insurans akan memaklumkan tempoh yang diperlukan oleh pihak mereka untuk memproses tuntutan anda.

5. Hantar kereta ke bengkel

Setelah selesai, hantar kereta anda ke bengkel panel insurans kereta berhampiran anda. Anda boleh merujuk pihak insurans untuk mendapatkan senarai lengkap panel insurans kereta yang boleh menguruskan kereta anda.

Semoga perkongsian ini boleh membantu anda sekiranya anda berdepan situasi kereta ditenggelami air banjir. Langkah-langkah yang dikongsikan diharap dapat membantu sekurang-kurangnya mengurangkan risiko kerosakan dan mengurangkan kos pembaikan yang perlu ditanggung.

Anda juga disarankan menyemak polisi insurans anda bagi memastikan harta benda terutamanya kereta anda diinsuranskan terhadap banjir. Malah, anda juga disarankan untuk mempertimbangkan perlindungan tambahan bencana alam sebagai persediaan di masa akan datang bagi membantu anda lebih bersedia menghadapi bencana sebegini.

Jika anda mempertimbangkan untuk mendapatkan insurans kereta komprehensif termasuk perlindungan bencana alam seperti banjir, layari laman web Qoala, platform insurans terbaik di Malaysia untuk info lanjut.