“Janganlah jerit-jerit dekat saya, saya tidak suka” – Rosmah

“Janganlah jerit-jerit dekat saya…. Saya tak biasa orang jerit-jerit dekat saya”.Prosiding bela diri kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor bermula tegang apabila pihak pendakwaan dan pembelaan saling bertikam lidah berhubung keterangan isteri bekas Perdana Menteri itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 3 Oktober 2018.

Ia berikutan pihak pembelaan dilihat sering mencelah ketika Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram menyoal balas Rosmah dan membantah soalan yang diajukan kepada anak guamnya, terutama membabitkan keterangannya kepada SPRM.

Terdahulu, sebaik saja Rosmah selesai mengangkat sumpah memberi keterangan, Sri Ram terus bertanyakan soalan kepada tertuduh.

Tindakan itu menyebabkan Rosmah meminta Sri Ram supaya membenarkan beliau untuk mengambil masa untuk menyesuaikan diri.

Sri Ram kemudian menyoal Rosmah mengenai keterangannya kepada SPRM yang menyatakan beliau tidak mengenali Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin (SP17) dan rakan niaga Saidi, Rayyan Radzwill Abdullah (SP16).

Sri Ram: Ada sesiapa memaksa anda membuat keterangan itu?

Rosmah: Tiada paksaan.

Sri Ram: Anda menyatakan bahawa “saya tidak kenal Saidi atau mendengar nama Jepak Holdings dan Rayyan Radzwill..saya tidak pernah berjumpa kedua-dua orang ini. Anda bersetuju bahawa ia adalah bukan perkara sebenar.

Rosmah: Tidak. Dalam masa saya berjumpa dua tiga minit ke macam tu…mana saya nak ingat dan saya berjumpa dengan ramai orang.

“Mestilah saya cakap tak kenal, cuba periksa maksud ‘kenal’ dalam kamus. Saya memang tak kenal dia, sebab dia bukan kawan atau kenalan saya,” katanya.

Bagaimanapun, sepanjang disoal balas, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh kerap kali membantah soalan yang diajukan kepada anak guam mereka.

Sri Ram kemudian meminta Rosmah mengesahkan bahawa suara dalam rakaman audio SPRM “can I advise you something” adalah milik beliau dan suaminya.

Rosmah: Tidak. Saya tidak boleh mengesahkannya kerana tiada siasatan saintifik dilakukan ke atasnya.

Sri Ram: Beberapa saksi memberi keterangan bahawa mereka mengenal pasti itu adalah suara anda dan suami?

Rosmah: Dan anda seharusnya mempercayai perkara itu?

Sri Ram: Anda tidak boleh tanya saya soalan. Jangan bertengkar dengan saya. Kalau anda mahu bertengkar dengan saya, saya akan meminta mahkamah mengeluarkan arahan terhadap anda.

Rosmah: Saya bukan mahu bertengkar, saya nak jawab. Tapi janganlah jerit-jerit dekat saya. Saya tak biasa orang jerit-jerit dekat saya.

Mendengar kekecohan itu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan meminta Rosmah menjawab ya atau tidak sahaja.

“Saya cadangkan anda dengar soalan, berikan jawapan yang pendek, kalau anda perlu jelaskan, jangan risau, ia boleh dilakukan ketika pemeriksaan semula,” kata hakim.

Sri Ram: Saya cadangkan kepada anda bahawa itu adalah suara anda?

Rosmah: Tidak setuju

Sri Ram: Saya juga cadangkan dalam perbualan itu anda membuat rujukan kepada pelantikan jawatan awam?

Rosmah: Tidak setuju

Sri Ram: Saya cadangkan, anda tidak mahu dikaitkan dengan kandungan rakaman audio berkenaan kerana ia mengesahkan bahawa anda menasihatkan suami anda berhubung pelantikan jawatan awam?

Rosmah: Tidak setuju

Sri Ram: Saya cadangkan bahawa kandungan rakaman audio berkenaan adalah benar:

Rosmah: Tidak, ia adalah sememangnya mengarut.

Sri Ram: Anda mempunyai pilihan untuk mencabar keterangan saksi yang mengenal pasti suara anda dalam rakaman audio berkenaan, tetapi tidak berbuat demikian, kerana ia adalah suara anda?

Rosmah: Tidak setuju

Sri Ram: Saya cadangkan, bahawa kebenarannya adalah seperti yang diceritakan oleh (Datuk) Rizal Mansor.

Rosmah: Tidak setuju

Rosmah juga tidak bersetuju bahawa beliau menerima wang daripada saksi ke-16 pendakwaan dan menolak cadangan Sri Ram bahawa kenyataannya dalam pernyataan saksi adalah tidak benar.

Rosmah, 70, dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin berkaitan projek tenaga solar itu menerusi bekas pembantunya, Rizal.

Ia sebagai balasan kerana membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan secara rundingan terus.

Rosmah dituduh melakukan kesalahan itu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; di kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta serta di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

-Gemilang Daily-

COMMENTS