Seorang individu Malaysia yang pernah bertugas sebagai pramugara di Singapore Airlines (SIA) telah mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat tersebut dengan tuntutan sebanyak SGD1.78 juta (sekitar RM6.3 juta).
Tuntutan ini berkaitan dengan kecederaan tulang belakang yang dialami individu tersebut akibat didakwa tergelincir ketika menaiki pesawat pada tahun 2019.
memetik FMT, individu yang dikenali sebagai Durairaj Santiran, berusia 35 tahun, mendakwa bahawa bekas majikannya itu bersifat cuai kerana tidak memastikan keadaan kerja yang selamat, seperti yang dilaporkan oleh The Straits Times.
Dalam persidangan mahkamah semalam, Singapore Airlines (SIA) telah mengeluarkan dakwaan bahawa keseluruhan naratif yang diberikan oleh Durairaj adalah palsu.
Walaupun begitu, Durairaj tetap kukuh dengan kebenaran ceritanya.
Menurut laporan yang diterbitkan, Durairaj, yang kini bekerja sebagai penganalisis jagaan pelanggan di Malaysia, mendakwa bahawa dia tergelincir di atas suatu tempat yang berminyak di dalam pesawat semasa penerbangan dari San Francisco ke Singapura pada 6 September 2019.
Dia mengatakan bahawa dia telah meminta untuk membersihkan kawasan tersebut sebelum kejadian berlaku.
Lelaki tersebut memberitahu mahkamah bahawa dia terjatuh ke belakang dan kepalanya menghantuk lantai. Durairaj, yang bekerja dengan SIA dari April 2016 hingga April 2021, menyatakan bahawa akibat kecederaan pada tulang belakangnya, dia tidak lagi mampu untuk meneruskan kerjaya sebagai pramugara.
Tuntutan ganti rugi yang diajukan termasuk SGD1.29 juta untuk kerugian pendapatan masa depan, SGD30,000 untuk kerugian keupayaan mencari pendapatan, dan SGD150,000 untuk kos perubatan dan pengangkutan pada masa akan datang.
Laporan itu turut menyatakan bahawa Durairaj hadir di mahkamah dengan menggunakan pendakap leher pada hari pertama perbicaraan yang dijadualkan untuk berlangsung selama 10 hari.