Jenama Daging “HALAL” akhirnya terdedah..

PENDEDAHAN JENAMA DAGING ‘HALAL’ DARI GUDANG YANG DISERBU OLEH PIHAK BERKUASA

Geram bila kita baca berita viral baru-baru ni mengenai kartel daging yang diserbu setelah beroperasi berpuluh tahun lamanya.

Lebih geram lagi bila tak ada satu pendedahan pun dibuat oleh pihak yang berkaitan mengenai apa jenama yang dipalsukan cop halalnya, siapa dalang kartel tersebut, dan apa nama syarikat yang mengedarkannya.

Lebih bertambah geram lagi bila pada awalnya ada statement pihak berkuasa kata nak dedah nama syarikat tersebut, tapi tiba-tiba semalam Timbalan Menteri Perdagangan, Datuk Rosol Wahid mula spin pula kata tidak boleh didedahkan nama syarikat tersebut sebab mengganggu siasatan kononnya.

Nah, mana kita tak panas hati bila baca berita macam tu. Siap kempen lagi kata daging kat pasaran tu semua halal jangan risau boleh beli. Siap tunjuk lagi pekerja dia jalan-jalan dalam supermarket tunjuk ada logo halal kat packaging daging yang dijual.

Padahal, berita sebelumnya semua cakap pasal daging tak sah taraf sama ada bukan daging lembu, bangkai, atau daging berpenyakit yang telah dipalsukan sijil halalnya dan dipek semula setelah diseludup untuk dijual di negara kita.

Lebih memanaskan hati, bila pendedahan tersebut menyatakan bahawa operasi kartel tersebut telah berjalan selama 40 tahun dengan rasuah telah diberi kepada kakitangan pelepasan kontena, kakitangan yang check isi kontena dan pelbagai lagi kakitangan pihak berkuasa. Hatta disebut bahawa kartel tersebut turut menawarkan habuan wanita kepada pihak yang dirasuah.

Apalah punya bala semua ini. Berpuluh tahun kita disajikan barang yang syubhah lagi tidak jelas sumbernya. Pihak berkuasa enjoy makan duit haram siap dapat habuan wanita lagi. Ini bukan isu birokrasi susah nak apply sijil Halal. Tapi ini isu rasuah, salah guna kuasa agensi berkaitan, penyeludupan, penipuan cop halal, penipuan sumber daging dan juga masalah kejar harga murah.

Kalau nak tahu, jenama yang dibawa masuk oleh kartel ni pun sebahagiannya memang dah ada sijil Halal yang sah baik dari Malaysia atau negara asalnya. Tapi diselit dan dicampur juga dengan daging yang tidak halal kemudian dipack semula menggunakan jenama dan cop halal yang telah dipalsukan.

Maknanya, kartel ini memang nak buat untung full margin lah makan pukul keliling. Sebab tu dapat jual murah sebab bangkai yang disupply nya, maka harga modal pula sudah tentu jauh lebih murah. Siap ada laporan yang kata mereka guna bangkai kangaroo, kuda dan macam-macam lagi.

Jadi, atas rasa tanggungjawab sebagai seorang Muslim, saya risau bila jenama ini tidak didedahkan. Kalau perkara ini berterusan, maka umat Islam di negara kita ini akan terus-terusan memakan bangkai tanpa sedar. Apa yang kita makan itu akan menjadi darah daging dan merosakkan kita semua.

Maka, malam tadi puas saya baca berpuluh berita mengenai serbuan yang dibuat pihak berkuasa terutama di Johor, akhirnya setelah puas mencari, ada lah terjumpa satu dua laporan media yang tak dipadam jenamanya dan terpapar dalam berita. Sebab kebanyakan berita, wartawan dah kaburkan jenama jadi susah kita nak cari.

Bila dapat berita yang tak kaburkan jenama tu, cepat-cepat saya screenshot dan cari satu persatu jenama tersebut. Hasilnya, anda boleh lihat di dalam gambar yang saya sertakan. Sebahagian jenama tersebut, saya percaya ramai daripada kita sudah pun pernah memakannya.

Masalah yang berlaku adalah campuran daging bangkai dengan daging yang halal, maka disebabkan sebelum ini kita tidak tahu, sama-sama kita berharap apa yang pernah kita makan dahulu adalah bahagaian yang halal bukan yang haram.

Lagi pula konsep dalam fiqh, bila kita termakan benda yang kita tidak tahu asal muasalnya, maka ia dimaafkan. Yang dah berlalu tu lupakanlah dan mohonlah keampunan ALLAH, semoga kita sama-sama diampunkan oleh ALLAH Taala jua hendakNYA.

Tapi, untuk masa yang kehadapan ni, bila kita dah tahu ada campuran barang tak halal, maka automatik semuanya dah jadi syubhah dan diragui buat kita. Takkan kita nak makan lagi ye tak??

Jadi, disini terpulang kepada anda sama ada mahu terus membeli daging frozen import atau tidak. Setelah banyak pendedahan dibuat, kita pun belum tentu pasti akan kehalalan jenama daging frozen import lain yang tidak didedahkan disini. Untuk mengelak termakan barang yang syubhah atau haram, maka sebaiknya kita tinggalkan terus memakan apa jua jenama daging frozen import. Dalam bisnes, bila tiada permintaan, maka tiadalah supply.

Yang jadi masalah, bila dah tahu ada yang syubhah kita tetap terus membelinya, maka sebab itulah kartel ni masih boleh bertahan walaupun dah naik turun mahkamah dan didenda. Pasti akan ada kartel lain yang mengambil alih demand dan pasaran yang kosong tadi dimasa akan datang.

Kepada pekedai pula, saya percaya ramai yang akan terkesan dengan penjualan daging import selepas ini. Namun, yakin dan percayalah bahawa rezeki itu telah tertulis oleh ALLAH Taala buat kita semua. Rezeki tidak akan pernah salah alamat. Apabila kita meninggalkan sumber rezeki yang haram dan syubhah, insyaALLAH akan dibalas dengan ganjaran yang lebih besar dan pintu rezeki kita akan terbuka lebih luas.
Ingatlah kembali pesan orang tua-tua kita dahulu kala.

“Jangan beli daging import, sebab kita tak tahu kesahihan barang tersebut.” Akhirnya setelah berpuluh tahun, baru hari ini kita nampak kebenaran pesanan orang tua kita dahulu. Akhir kata dari saya, carilah barang yang halal, utamakan sumber yang halal dan tinggalkanlah barang yang syubhah dan diragui.

Negara kita pun belum darurat lagi, tak mati pun kalau tak makan daging frozen. Masih banyak penjual daging segar temparan. Sokonglah buatan Malaysia, dan Paling penting ingat; BUY MUSLIM AND HALAL FIRST!!

Sekian, renung-renungkan dan selamat beramal…
.
#dagingharam
#karteldaging
#daginghalal
#kangaroo
#bangkai
#kuda
#jakim
#maqis
#jainj
*Dipersilakan boleh share dan sebarkan artikel ini tanpa perlu minta izin. Saya harap akan ada lebih banyak pendedahan selepas ini daripada pihak2 lain pula.
.
-Muhammad Mamzah
25 Disember 2020