Jenazah pelawak Hamid Gurkha selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sungai Jati jam 9.50 malam tadi dengan dihadiri lebih 300 orang termasuk keluarga dan kenalannya.
Jenazah Hamid sebelum itu disahkan meninggal dunia jam 2.19 petang di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) akibat penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain seterusnya dibawa ke Masjid Kota Raja untuk disempurnakan jenazahnya.
Menurut Harian Metro, anak keempat Allahyarham, Mohd Affandi Hamid, 59, berkata, bapanya adalah individu yang pemurah dan tidak pernah berkira mengenai wang ringgit selain amat penyayang dalam keluarga.
“Orangnya ‘selamba’, pemurah dan tak berkira. Dari segi bayaran untuk tawaran kerja, apa sahaja yang orang bagi dia tak kisah dan saya pun selalu menemaninya untuk ke mana-mana undangan ‘show’ dan sebagainya. Katanya, apa pun bayaran yang diberi, itu adalah rezeki yang dah Allah tulis untuknya.
“Dengan anak-anak dan cucu-cucu dia memang mesra dan tak boleh berpisah. Kali terakhir dia datang ke rumah saya adalah pada Aidilfitri tempoh hari. Selepas itu mulalah dia batuk-batuk dan jatuh sakit, itulah ceritanya,” katanya kepada Harian Metro.
Affandi juga turut berkongsi pesanan arwah kepadanya dan adik-beradik yang lain supaya sentiasa menjaga hubungan sesama mereka.
“Pesanan arwah, dia minta kami adik-beradik jangan menjauhkan diri, berhubung selalu, jangan tinggalkan mak (waktu masih ada) dan dia minta maaf kalau ada salah silap,” katanya.
Selain keluarga, beberapa rakan artis turut hadir bagi memberikan penghormatan terakhir buat pelakon era 70-an itu antaranya penyanyi, Datuk Nash dan pelakon, Mat Over.
Baca Juga: Tak saman orang ketiga sebab tak mahu panjangkan isu – Puteri Sarah Liyana
Baca Juga: 6 bulan sentuhan magis jurulatih Korea bawa Malaysia ke Piala Asia 2023