Tahukah anda bahawa pengantin dari Minangkabau bersanding selama 6 jam semata-mata tunggu tetamu ambil gambar bersama-sama.
Majlis resepsi akan diadakan pada jam 12 tengahari dan pengantin perlu berada di atas pelamin sehingga jam 6 petang.
Dalam tempoh itu pengantin perlu menanti tetamu yang ingin datang mengambil gambar sambil menikmati persembahan orgen iaitu kugiran.
Angga Sangputra Mhd Safe’i, 35, dilahirkan di Malaysia selepas ibu dan bapanya berhijrah ke negara ini lebih 37 tahun lalu.
Meskipun seakan menyatu dengan budaya dan masyarakat Melayu di Malaysia yang mempunyai pelbagai resam dan budaya, namun jiwanya kepada Minangkabau begitu tebal.
Namun dia tidak menyangka bertemu jodoh dengan gadis asli Minangkabau dari Sumatera Barat. Segala-galanya bermula apabila saudara ibunya memperkenalkan isterinya ketika dia dan keluarga ketika mengunjungi Desa Salimpaung di Kecamatan Salimpaung pada April tahun lalu.
Pada 5 Januari lalu Angga dan pasangannya, Enggla Putri Adha Zalwiardi sempurna diijabkabulkan di Salimpaung, Batusangkar dan turut diadakan majlis persandingan di pihak lelaki bertempat di Panampuang, Bukit Tinggi, Sumatera Barat di Indonesia.
Majlis resepsi pasangan pengantin itu mengikut budaya tradisional masyarakat Minangkabau yang berlangsung selama dua hari di pihak lelaki dan perempuan.
Angga tidak dinafikan begitu teruja menjadi raja sehari. Apatah lagi, majlis dan cara persandingan yang berbeza daripada masyarakat Melayu di Malaysia.
Selain itu dalam proses perkahwinan Angga dan isteri, mereka juga melalui adat seperti babako-babaki (upacara pra perkahwinan oleh kerabat belah bapa), mahanta siriah (bakal pengantin meminta kebenaran dari kedua ibu bapa) dan manimang dan batimbang tando (acara bertukar tanda).
Jelasnya, sedikit perbezaan yang boleh dikongsikan ketika persandingan ialah mereka perlu berada di atas pelamin pada waktu masa yang agak panjang.
Paling tidak dapat dilupakan dan menjadi idaman Angga pastinya menyarung pakaian tradisional masyarakat Minangkabau ketika majlis persandingan.
Sebelum mengakhiri perbualan, Angga menitipkan peribahasa Minang ini kepada penulis, ketek banamo gadang bagala.
Jelasnya, itulah pepatah yang digunakan orang yang berketurunan Minangkabau yang memakai adat perpatih.
“Jika ketika kecil dipanggil Angga, tapi apabila sudah menikah, nama Angga sudah tidak dipakai lagi jika ke kampung dan bertandang ke sebelah rumah keluarga perempuan.
“Dalam tradisi Minangkabau Gala ialah gelar akan diberikan kepada lelaki hanya berketurunan dan susur galur Minangkabau sahaja. Kalau lelaki itu keturunan selain Minangkabau dan berkahwin dengan gadis Minangkabau, lelaki itu tidak akan mendapat Gala,” jelasnya.
Baca juga: Tular video aksi bersilat di Masjid Nabawi-Jaga adab, balik negara sendiri bersilat habis-habisan