Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menimbang semula penggantungan Parlimen bagi membolehkan ahli Parlimen membangkitkan kelemahan pentadbiran Perikatan Nasional (PN).
Lim berkata, cabang legislatif diperlukan agar wakil rakyat dapat membawa isu berkaitan salah pengurusan, salah guna kuasa dan kesukaran rakyat dalam sidang Parlimen.
“Sekiranya cabang eksekutif dan kehakiman dalam kerajaan dapat berfungsi dengan normal, mengapa tidak cabang perundangan (legislatif) yang merupakan peringkat tertinggi dalam Perlembagaan Persekutuan?” soal Lim yang juga ahli Parlimen Bagan, dalam kenyataan hari ini.
Setakat ini, belum ada ordinan darurat yang dikeluarkan untuk menggantung Parlimen. Walaupun kenyataan Istana Negara semalam tidak menyebut tentang perkara itu, ucapan Muhyiddin jelas dia mahu berbuat demikian.
Dewan Rakyat sepatutnya bersidang tiga kali tahun ini – 8 Mac hingga 8 April, 14 Jun hingga 1 Julai, dan 4 Oktober hingga 8 Disember.
Lim berkata lagi, kerajaan gagal mengumumkan bantuan kewangan segera ketika pengumuman darurat dan ia perlu dibangkitkan di Parlimen.
“Kadar pengangguran meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada 4.8 peratus pada bulan November 2020 sebagai hasil daripada PKP bersyarat dan pemulihan yang dilaksanakan ketika itu.
“Perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kesatuan sekerja dan kumpulan majikan telah memberi amaran terhadap lebih banyak penutupan perniagaan dan pemberhentian pekerja untuk pusingan terbaru PKP dan darurat.
“Industri pelancongan yang kehilangan pendapatan RM100 bilion tahun lalu, memerlukan sokongan kewangan segera,” katanya lagi.
Dia juga membidas kerajaan kerana tidak mendapatkan vaksin dengan lebih cepat, seperti Singapura yang telah menerima bekalan pertama dua bulan lebih awal berbanding jangkaan diterima Malaysia.
“Antara pilihan nyawa dan mata pencarian, kerajaan juga masih lemah dalam pelaksanaan saringan, pengesanan dan rawatan (test, trace, treat, 3T) secara menyeluruh untuk menyelamatkan nyawa
“Walaupun Dana Covid-19 dikurangkan daripada RM38 bilion pada tahun 2020 kepada RM17 bilion, RM 17 bilion masih merupakan jumlah yang boleh digunakan untuk meningkatkan sistem penyampaian kesihatan kita berdasarkan 3T.
“Malangnya, dana tersebut nampaknya tidak dapat disediakan bagi menyokong wira barisan hadapan kita sama ada untuk mengambil lebih ramai pekerja kesihatan atau membeli vaksin,” katanya.
Katanya, sudah tiba masanya untuk menteri “bangun dari tidur dan melakukan tugas mereka dengan betul”.
Lim juga berkata Muhyiddin telah kehilangan keabsahan moral dan politik sebagai perdana menteri susulan penarikan semula sokongan oleh tiga ahli Parlimen Umno.
“Ironinya, kegagalan dan salah urus Kerajaan Muhyiddin dalam isu Covid-19 telah memberinya peluang untuk bergantung pada perintah darurat untuk terus berkuasa dengan menggantung Parlimen,” katanya lagi.
sumber: https://www.malaysiakini.com/news/558785