Jika PAS tak mahu, UMNO cukup kuat untuk tanding bersendirian

Dua pemimpin UMNO menolak dakwaan parti itu tidak cukup kuat untuk bertanding bersendirian melawan Perikatan Nasional, jika pilihan raya umum akan datang.

Bekas ahli Majlis Tertinggi, Nazri Aziz dan Ketua UMNO Sabah, Bung Moktar Radin merasakan parti itu berjaya menangani dakwaan dan kritikan yang dihadapinya dalam kempen pilihan raya umum 2018.

Mereka berkata, parti itu menjadi lebih kuat dan rakyat turut menyedari kegagalan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin.

Berlaku keretakan dalam hubungan UMNO-PPBM beberapa bulan ini, menyebabkan 143 daripada 191 bahagian UMNO memutuskan untuk menolak kerjasama dengan PPBM pada PRU15, dengan ada yang berkata, mereka hanya mahu bekerjasama dengan PAS, yang merupakan sekutu PPBM dalam Perikatan Nasional.

Nazri berkata, parti itu tidak perlu bertanding bersendirian, selagi PAS mahu bekerjasama dengan mereka.

“Kami mahu bekerjasama dengan PAS. Bersama kita adalah dua parti Melayu terbesar dan tertua. Tetapi, jika mereka tidak mahu bekerjasama dengan kami, apa boleh kami buat? Kami hanya bertanding bersendirianlah.”

Katanya, PAS pernah bertanding bersendirian banyak kali, dan walaupun tewas, mereka terus berbuat demikian.

“Jadi, kenapa kami tidak boleh?” soalnya.

Beliau berkata, UMNO kini dalam keadaan berbeza berbanding PRU 2018, apabila pelbagai dakwaan dilemparkan terhadap pemimpinnya.

“Ketika itu, ada pengundi merasakan kami perlu dihukum. Kami sudah (dihukum) dan belajar daripadanya, kami menjadi lebih kuat.

“Sekarang, rakyat menderita akibat kegagalan kerajaan Pakatan Harapan dan rakyat tidak gembira dengan Perikatan Nasional, jadi apa yang berlaku pada 2018 tidak semestinya berlaku pada PRU akan datang.”

Bung pula berkata, penolakan terhadap PPBM oleh akar umbi UMNO ialah mesej kepada semua yang UMNO tidak gembira.

Katanya, beliau lebih suka UMNO tidak bertanding bersendirian kerana ia lebih kuat jika bekerjasama dengan parti lain, tetapi “jika kami bertanding bersendirian, ia tidak akan sama dengan dahulu. UMNO sangat kuat dan akar umbi kami kuat”.

Mohamed Khalid Nordin

Beliau berkata, PH berkempen pada 2018 dengan banyak dakwaan salah dan membuat pelbagai janji yang tidak dapat dikotakan.

“Rakyat melihat Barisan Nasional sebenarnya baik, itu sebabnya saya fikir kita boleh buat lebih baik.”

Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin berkata, mesyuarat perwakilan bahagian menyediakan platform untuk ahli akar umbi bersuara, dan pucuk pimpinan parti akan sentiasa mengambil kira sentimen mereka.

“Pada 2018, terdapat isu berlainan dalam pemikiran rakyat. Sekarang ada isu lain. Apapun, UMNO bahagian jelas mereka tidak mahu bekerjasama dengan PPBM dan mereka boleh menerima PAS. Kami tidak tahu apa pendirian akar umbi PAS.”

sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/05/umno-cukup-kuat-untuk-tanding-bersendirian-kata-nazri-bung/

COMMENTS