‘Jika saya mati, jaga dua anak kita’, tak sangka seloroh masa tonton drama Korea rupanya memang petanda

Bintara Muda Haslie Ali, 33, mengimbas kembali apa yang seminggu sebelum tragedi nahas helikopter di Lumut baru-baru ini yang turut mengorbankan isterinya, Laskar Kanan (LK) JJM Joanna Felicia Rohna.

Beliau yang juga anggota TLDM menceritakan mendiang yang meminati drama Korea secara tiba-tiba berseloroh dengan memintanya menjaga kedua-dua anak mereka, seandainya beliau meninggal dunia.

“Ketika itu dia sedang tengok drama Korea dan ada babak kematian terus dia cakap ‘Mun ku mati tok, jaga anak dua orang ya’ (sekiranya saya meninggal dunia, jaga kedua-dua anak kita) jadi saya fikir isteri saya hanya bermain kata,” katanya, dipetik BH.

Mendiang Joanna Felicia dikebumikan di kampung suaminya, Kampung Engkaroh Tebakang, Serian, Sarawak, di Tanah Perkuburan Kristian Kampung Engkaroh Tebekang.

Katanya, percintaan mereka berdua mula berputik di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di Perak sekitar 2018.

Bapa kepada dua anak itu berkata, sikap mendiang yang tegas namun penyayang ‘mencairkan’ hatinya, lantas beliau mengambil keputusan untuk mengenali Joanna dengan lebih dekat.

“Dia junior saya, saya masuk tahun 2013, dia masuk 2017. Perkenalan kami singkat banyak berkomunikasi menggunakan WhatsApp.

“Pada 2019 kami terus mengambil keputusan untuk berkahwin, jadi kami ini kategori bercinta selepas kahwin,” katanya.

Anak Bidayuh itu berkata, sempena Hari Gawai pada Jun ini, beliau mahu menunaikan permintaan Joanna yang pernah menyuarakan hasrat untuk menyambut perayaan itu di kampung halamannya sendiri di Kampung Sumpas Tampek, Serian.

“Kalau ikutkan Hari Gawai tahun ini tak dapat saya cuti sebab kena pergi berlayar, tapi fikir setahun sekali sahaja cuti, jadi saya baliklah. Tahun ini akan tunaikan hasrat (mendiang) beraya di kampung,” katanya.

Mengakui anak-anak kecilnya masih belum boleh memahami tragedi yang meragut nyawa ibu mereka, Haslie mengharapkan ahli keluarga wanitanya dapat berkongsi erti kasih sayang ‘ibu’ bersama permata hatinya.

Puteri sulungnya, Allesia Felice Haslie atau mesra dipanggil Icha yang berusia empat tahun mesra dan tidak lokek dengan senyuman.

“Icha (nama panggilan anak sulung) sama (perwatakan) seperti ‘mummy’ nya… (Joanna) dengan keluarga dia bagus dan banyak tolong kawan-kawan dengan kata-kata semangatnya,” kata Haslie.

Selain Icha, wajah anak kedua mereka, Hovannes Haslie yang baru menginjak usia setahun pula mirip mendiang isterinya.

Tragedi pada 23 April lalu membabitkan pesawat Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan pesawat Fennec (M502-6) di Pangkalan Tentera Laut TLDM di Lumut, Perak mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM termasuk tiga wanita.

BACA JUGA ‘Hangatnya’ utara Selangor sekarang, ini 10 fakta menarik PRK DUN Kuala Kubu Baharu