Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjelaskan Rina Harun sebenarnya membersihkan kesan najis unggas dan cicak yang sukar dicuci di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) selepas dikatakan hanya “berposing” ketika dirakam mencuci simen bersih hingga mendapat kecaman warganet di media sosial.
JKM berkata isu tular itu berlaku ketika Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu turun padang menyertai operasi pasca bencana banjir dengan membersihkan Sekolah Kebangsaan (SK) Salak Tinggi yang dijadikan sebagai PPS sejak 18 hingga 23 Dis lalu.
Katanya, beliau bersama Sukarelawan Keluarga Malaysia bukan hanya membersihkan kawasan itu tetapi turut mengemas bilik darjah dan menyusun atur logistik lain memandangkan sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi.
“JKM terpanggil untuk menjawab isu tular mendakwa Datuk Seri Rina hanya ‘berposing’ mencuci simen bersih di sekolah terbabit. JKM yang menguruskan operasi telah memohon kesudian beliau untuk mencuci kesan najis unggas dan cicak yang dilaporkan pihak sekolah bahawa ia sukar dicuci sebelum ini.
“Memandangkan alat penyembur air disediakan di lokasi pembersihan, beliau tidak menolak pelawaan JKM dan melakukan kerja itu dengan lapang dada dan hati yang terbuka,” katanya dalam kenyataan.
Selain membersihkan kawasan sekolah yang dijadikan PPS itu, Rina turut mengemas bilik darjah dan menyusun atur logistik lain memandangkan sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi.
FMT semalam melaporkan, nama Rina Harun terus “trending” di Twitter apabila aktiviti menteri itu di kawasan banjir menjadi antara topik hangat dibincangkan.
Menerusi video dimuat naik seorang pengguna Twitter, dylawok, Rina dilihat membersihkan tempat yang seolah-olah tidak terkesan banjir menggunakan penyembur air sambil aksinya dirakam jurugambar dan beberapa individu lain.
Berdasarkan video itu, kawasan bangunan yang dicuci Rina kelihatan bersih dan tidak berlumpur, membuatkan tindakannya itu menjadi persoalan dan kecaman warganet.
JKM berkata, adalah tidak adil untuk warganet melemparkan tohmahan dan memperlekehkan usaha beliau dalam operasi pembersihan itu.
“JKM juga menyeru dan mengalu-alukan lebih ramai rakyat tampil mendaftar dan terlibat menjadi Sukarelawan Keluarga Malaysia dalam misi membantu operasi ini daripada membuat dan menyebarkan provokasi tidak bermanfaat,” katanya.