“Johor tak menuntut pun Pulau Batu Puteh”, Mahathir jawab Sultan Johor

“Johor tak menuntut pun Pulau Batu Puteh”, Mahathir jawab Sultan Johor

Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata membenarkan tambakan tanah oleh Singapura adalah tindakan buruk yang lebih serius berbanding mematuhi keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ) untuk mengisytiharkan Pulau Batu Puteh milik republik tersebut, menjawab kritikan Sultan Johor berhubung keputusan Malaysia yang tidak membuat rayuan terhadap keputusan itu.

Mahathir juga menolak perbandingan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung pulau yang menjadi pertikaian itu dengan Langkawi, yang juga merupakan kawasan Parlimen yang diwakili oleh bekas perdana menteri itu.

Beliau berkata, berbanding Pulau Batu Puteh yang dituntut Singapura, Langkawi tidak pernah dituntut oleh Thailand, atau tertakluk dengan kes undang-undang antarabangsa di mana dua negara perlu bersetuju dan patuh dengan keputusannya.

“Sebaliknya kerajaan Johor melalui surat telah menyatakan bahawa Johor tidak menuntut Pulau Batu Puteh sebagai milik kerajaan Johor.

“Kemudian Malaysia mendakwa Pulau Batu Puteh adalah milik Malaysia. Maka ini dipertikai oleh Singapura. Dan berlakulah kontroversi,” tulisnya.

Minggu lalu, Sultan Ibrahim mengecam keputusan Mahathir supaya kerajaan Malaysia tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan ICJ pada 2008 dalam penghakimannya berhubung Batu Puteh atau turut dikenali sebagai Pedra Branca, sebagai milik Singapura.

“Mengapa soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu? Adakah kita negeri anak tiri?

“Kalau tak suka Johor… Cuba kalau Malaysia kehilangan Pulau Langkawi kepada Thailand, bagaimana rasa orang Kedah agaknya?” kata Sultan Ibrahim dalam sebuah hantaran Facebook.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pasukan tindakan khas untuk mengkaji beberapa pilihan yang boleh diambil Malaysia dalam tuntutannya terhadap Batu Puteh.

Pulau seluas 8,500 persegi itu terbentuk daripada batu granit, ia dianugerahkan kepada Singapura pada 2008 setelah kedua-dua kerajaan bersetuju untuk membawa tuntutan ke ICJ.

Sultan Ibrahim berkata pasukan petugas tersebut harus mencari alasan di sebalik keputusan Mahathir untuk menerima keputusan ICJ dan tidak berusaha untuk merayu semakan semula kes tersebut sambil menambah isu Pulau Baru Puteh adalah membabitkan isu kedaulatan negara.

Mahathir mengingatkan Malaysia sudah berjanji untuk mematuhi setiap keputusan muktamad yang dikeluarkan ICJ, selain turut berkata rundingan mengenai perkara itu tidak menghasilkan sebarang keputusan.

“Negara yang bermaruah mesti hormati janji. Hanya negara yang tidak bermaruah yang akan mungkir janji.

“Muktamad adalah muktamad. Jika sebuah negara tidak hormati janji, tidak ada negara lain yang akan buat perjanjian dengan negara berkenaan. Ia menjadi negara pariah,” katanya.

Dalam pada itu, Mahathir turut memetik penambakan tanah oleh Singapura berhampiran perairan Johor sebagai contoh di mana kedaulatan negara boleh tergugat.

“Jika tanah yang dijual adalah untuk menambak dan membesar negara lain, dia tidak berbeza dengan menjual bahagian-bahagian tertentu negara kepada negara lain.

“Hari ini kita jual air dan tanah berlori-lori dan berkapal-kapal ke negara lain guna untuk membesar negara mereka.

“Atau kita jual laut untuk ditambak dan dimiliki serta diduduki oleh orang lain, keadaannya tidak berbeza dari menjual bahagian-bahagian negara kepada negara asing,” katanya.

Mahathir yang memiliki hubungan keruh dengan Istana Johor beberapa kali mengkritik perjanjian dalam penjualan air mentah Johor ke Singapura.

Mahathir dan Sultan Ibrahim juga turut memiliki perselisihan berhubung projek kontroversi, Forest City, sebuah projek pembangunan mega melibatkan empat pulau buatan yang dibina bagi menarik pembeli rumah dari China.

sumber : https://www.malaysianow.com/berita/2021/10/20/langkawi-bukan-batu-puteh-dr-m-jawab-sultan-johor/

COMMENTS