Jom kejar pahala 1,000 bulan! Ini antara hari mungkin berlaku Lailatulqadar, perhatikan tandanya

Umat Islam digalakkan untuk meningkatkan amal ibadah ketika mendekati 10 malam terakhir Ramadan kerana pada waktu itu terdapat satu malam istimewa yang disebut Lailatul Qadar.

Malam ini akan menjadi malam yang teragung yang sentiasa dicari-cari oleh umat islam ketika bulan ramadhan.

Berdasarkan ayat al-Quran dalam Surah al-Qadr, Allah menyebut Lailatul Qadar sebagai malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan, yang setara dengan lebih kurang 83 tahun.

Jadi, bilakah malam Lailatul Qadar?

27 Ramadan

Menurut laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan, pendapat yang terkuat mengikut para ulama bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam 27 Ramadan.

Hujah mereka amat banyak, antaranya:

Mengikut Abu Ka’ab katanya: “Demi Allah sesungguhnya Ibn Mas’ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatul Qadar jatuh dalam bulan Ramadan, manakala Lailatul Qadar pula jatuh pada malam ke-27. Akan tetapi, dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya.”

Daripada riwayat Muawiyah yang bermaksud: “Bahawa Nabi SAW telah bersabda bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam ke-27.”

Riwayat ini turut disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir (hia) yang kembalinya kepada Lailatul Qadar.

Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma yang bermaksud: “Sesiapa yang mencari Lailatul Qadar, dia hendaklah mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu Lailatul Qadar pada malam yang ke-27.”

23 Ramadhan

Seterusnya adalah pada malam 23 Ramadan. Ini adalah pendapat Imam Syafie. Hal yang sama juga dikemukakan oleh Malik, Ibn Khuzaimah, Abu Awanah, dan al-Tahawi berdasarkan hadis riwayat Abdullah bin Unais di mana Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Carilah malam Qadar pada malam 23 Ramadan.”

21 Ramadhan

Malam Lailatul Qadar juga mungkin berlaku pada malam 21 Ramadan. Ini juga pendapat yang dipilih oleh Imam Syafie. Dia mendukung pendapatnya dengan merujuk kepada riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi dari Ibn Mas’ud, di mana Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Tuntutlah malam 17,21 dan 23 Ramadan.”

24 Ramadhan

Seterusnya adalah pada malam 24 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Ibn Abbas bahawa Baginda SAW bersabda:

Maksudnya: “Carilah malam Lailatul Qadar pada malam 24 Ramadan.”

Malam Akhir Ramadhan

Selain itu, Lailatul Qadar juga mungkin boleh berlaku pada malam akhir Ramadan. Hal ini berdasarkan hadis Muawiyah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Carilah malam Qadar pada akhir malam Ramadan.”

Alamat/petanda Lailatul Qadar

Ubadah bin al-Somit R.A berkata secara marfu’: “Sesungguhnya malam tersebut bersih terang, seolah-olah bulan yang menerangi tenang, nyaman tidak terlalu sejuk pada malam tersebut dan tidak terlalu panas dan tiadalah tempat bagi bintang untuk dilihat dengannya hingga ke waktu pagi. Dan daripada tandanya bahawa matahari pada waktu paginya keluar dalam keadaan tidak bercahaya dengan kepanasan seperti bulan penuh purnama dan syaitan tidak ada tempat untuk keluar bersamanya pada hari tersebut.

Daripada Ubay bin Kaab R.A menyatakan daripada Nabi SAW, sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya matahari terbit pada hari tersebut tidak mempunyai cahaya dan kepanasan.”

Mengikut riwayat daripada ucapan Ibn Mas’ud berkata: “Sesungguhnya matahari keluar setiap hari antara dua tanduk syaitan, kecuali pagi malam qadar.”

Baca juga: “Suami aku gaji tinggi tapi kedekut taik hidung masin, bila time aku belanja macam macam dia teringin tapi bila time aku”