Jovian sedih dikata guna pengaruh bapa mertua untuk bisnes

Pereka fesyen, Datuk Jovian Mandagie, 36, terkilan atas tuduhan netizen yang mendakwa dirinya menggunakan pengaruh bapa mentua, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk kepentingan perniagaan dan peribadi.

Jovian menyatakan bahawa adalah tidak adil mengaitkan dirinya dengan isu tersebut kerana beliau sudah lama membina jenama sendiri dan terlibat dalam industri fesyen sebelum menjadi menantu Perdana Menteri.

“Saya manusia biasa tentu ada rasa kecil hati. Tetapi saya tidaklah ambil secara peribadi kerana saya sangat positif.

“Orang selalu kata saya dibiayai duit kerajaan, walhal saya tidak pernah ambil kesempatan.

“Saya buat bisnes bermodalkan RM5,000 daripada duit ibu saya. Bertitik tolak daripada situ, perniagaan saya mula berkembang dan dipertemukan dengan beberapa pelabur persendirian.

“Kalau hendak kata saya ambil kesempatan, bagaimana saya boleh buka butik di Jalan Maarof, Bangsar yang menelan belanja berjuta-juta ringgit.

“Ketika itu, saya belum berkahwin pun dengan Datin Nina Ismail (isteri),” katanya selepas pelancaran korset Wonder Suit by Jovian di Tropicana Golf & Country Resort.

Namun dia juga mengakui bahawa bapa mentuanya telah membantunya dalam mempromosikan produk, terutama pada awal penularan pandemik COVID-19.

“Saya tidak nafikan mungkin kedudukan bapa mentua membuka jalan dengan lebih luas terutama ketika pandemik COVID-19 apabila beliau memakai pelitup muka jenama saya setiap hari di televisyen (TV).

“Ini memberi publisiti dan membawa rezeki kepada perniagaan yang sedang diusahakan. Ingin saya tegaskan, bukan beliau (PM) yang suruh saya buat perniagaan itu, tetapi ia adalah usaha dan kerja keras saya sendiri.

“Boleh dikatakan kami melengkapi antara satu sama lain,” katanya.

Semalam, Jovian dan pasangannya Datin Nina Ismail mengejutkan ramai dengan membuat pendedahan bahawa mereka telah bercerai sejak Ogos lalu.

Untuk rekod, Jovian dan Nina telah berkahwin pada 11 Disember 2013 dan dikurniakan seorang anak perempuan bernama Jeanelle Nika Mandagie yang kini berusia enam tahun.

Baca juga: Mentaliti kelas ketiga! Baru seminggu dibuka, taman permainan interaktif air TRX Exchange rosak teruk