JPJ menegaskan bahawa mereka tidak pernah memberi kelulusan kepada BJAK Sdn. Bhd. untuk melaksanakan perkhidmatan urus niaga pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan secara dalam talian.
Menurut JPJ, mereka mengambil serius kandungan iklan BJAK berkenaan perkhidmatan urus niaga cukai jalan secara dalam talian yang ditawarkan kepada orang awam, termasuk program pemberian secara percuma.
“Kami ingin menegaskan bahawa Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) serta JPJ tidak pernah memberikan kelulusan kepada BJAK untuk melaksanakan perkhidmatan urus niaga pembaharuan cukai jalan.
“JPJ juga ingin menegaskan bahawa kenyataan yang dipaparkan oleh BJAK di laman web mereka yang menyatakan ‘Pembaharuan roadtax secara dalam talian di BJAK telah diaudit, disahkan dan diluluskan oleh JPJ’ adalah tidak benar dan boleh mengelirukan orang awam,” kata JPJ hari ini.
JPJ menjelaskan bahawa mereka telah menerima beberapa aduan daripada orang awam, termasuk kes di mana pembaharuan cukai jalan dilakukan melalui laman web BJAK tetapi tempoh sah cukai jalan tidak dikemaskini.
“Kami ingin menegaskan bahawa tidak ada integrasi sistem antara Sistem JPJ (MySIKAP) dengan sistem yang digunakan oleh BJAK.
“Pada masa yang sama, JPJ juga telah menerima aduan orang awam yang tidak berpuas hati kerana dikenakan caj tambahan semasa memperbaharui cukai jalan oleh BJAK,” kata JPJ.
JPJ menegaskan bahawa mereka atau MOT tidak pernah meluluskan sebarang caj tambahan yang dikenakan oleh BJAK kepada pelanggan mereka.
“Perkhidmatan pembaharuan cukai jalan boleh dilakukan melalui kaunter JPJ, kiosk JPJ, kaunter bergerak JPJ Mobile, Aplikasi MyJPJ, portal awam JPJ, dan platform rakan niaga JPJ seperti Pos Malaysia, MyEG, dan PUSPAKOM sahaja.
“Operasi yang dijalankan oleh BJAK berkaitan urus niaga pembaharuan cukai jalan adalah tanpa kebenaran daripada JPJ,” tegas JPJ.
baca: Penyerang dipercayai sasar muka Faisal Halim, ucap ‘Good Luck’ sebelum simbah asid