JPN sahkan duta khas tiada perjalanan rasmi ke luar negara, tetap terima gaji

Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengesahkan tiada perjalanan rasmi ke luar negara dibuat oleh tiga duta khas yang dilantik kerajaan.

Menteri di JPM (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata kesemua mereka turut menerima emolumen berjumlah RM27,227.20.

“Berdasarkan kontrak perkhidmatan yang telah dimuktamadkan, emolumen yang diterima oleh kesemua duta khas ini adalah RM27,227.20.

“Mereka juga ditawarkan beberapa kemudahan lain seperti kemudahan telefon bimbit, kenderaan, pemandu dan pejabat,” katanya menerusi jawapan lisan ke Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) yang meminta Perdana Menteri menyatakan perbelanjaan emolumen, elaun serta perjalanan rasmi setiap duta khas bertaraf Menteri yang dilantik Kerajaan sejak April 2020.

Menurut Dr Abd Latiff, terdapat tiga Duta Khas kepada Perdana Menteri yang dilantik kerajaan sejak April 2020 iaitu Duta Khas Ke Timur Tengah, Duta Khas Ke Republik Rakyat China dan Duta Khas Ke Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.

Mesyuarat Kabinet pertama pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berlangsung pada 1 September 2021 bersetuju untuk terus menyambung pelantikan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas ke Timur Tengah; Datuk Seri Tiong King Sing sebagai Duta Khas ke China dan Datuk Seri Richard Riot sebagai Duta Khas ke Asia Timur.

sumber : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tiada-perjalanan-rasmi-ke-luar-negara-3-duta-khas-terima-emolumen-rm2722720-334054