Juara negara gemuk: Mesyuarat kerajaan dicadang hidang air kosong sahaja

  • Post author:
  • Post comments:0 Comments

Ekoran Malaysia dinamakan sebagai ‘Juara Negara Gemuk’, kerajaan dicadangkan agar menyediakan air kosong sahaja ketika mesyuarat badan-badan kerajaan kecuali mesyuarat diadakan pada waktu makan pagi, tengahari atau malam.

“Suka juga saya menasihatkan kerajaan yang dipimpin Ismail Sabri, agar semua agensi kerajaan tidak menyediakan makanan, kopi dan teh selain air kosong ketika mesyuarat rasmi kecuali jika mesyuarat dijalankan pada waktu makan pagi, tengahari atau malam.

“Langkah ini pasti akan menjimatkan wang rakyat serta mengurangkan pembaziran makanan dan minuman.

“Ia juga akan membantu usaha kerajaan merendahkan kadar obesiti rakyat Malaysia yang agak menggerunkan kerana Malaysia telah dinamakan negara ‘juara’ gemuk di antara negara ASEAN,” kata Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dalam kenyataannya.

Di samping itu, beliau juga mencadangkan agar Perdana Menteri memberi arahan kepada semua agensi kerajaan dan syarikat GLC untuk membekalkan barangan buatan tempatan kepada para ahli mesyuarat yang hadir ke sesuatu majlis.

Kebelakangan ini tular sebuah video Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan ahli-ahli mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang bermesyuarat pada 31hb Jan dihidangkan makanan dan air botol 500ml berjenama Evian, yang dikatakan keluaran sebuah syarikat dari Perancis.

Video berkenaan telah menerima kritik yang pedas dan keras daripada ramai orang.

Sehubungan itu, Lim meminta agar Pejabat Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara memberitahu kepada rakyat bahawa jabatan-jabatan kerajaan manakah yang menyediakan air botol Evian semasa mesyuarat dijalankan? Sekiranya air Evian tersebut ditaja oleh pihak lain, kerajaan perlu menjelaskan nama penaja itu dan agendanya.