Jumlah denda cecah RM358,000, ini kronologi kesalahan JDT sejak 2013

Nama pasukan JDT amatlah dikenali di asia dan juga negara-negara luar kerana ia menampikan pemain-pemain yang cukup handal dan terlatih di bawah seliaan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Namun baru-baru ini muncul kejadian apabila Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah mengurangkan hukuman ke atas Selangor FC kerana tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih pada 10 Mei lepas.

Ia menimbulkan ketidakpuasan hati ramai apabila kelab bolasepak lain tidak pernah mendapat apa-apa diskaun mahupun kelonggaran apabila dikenakan denda.

Sejak 2013 juga JDT, telah didenda sebanyak 15 kali oleh FAM—dengan jumlah denda mencecah RM358,000 (setakat hari artikel ini diterbitkan).

Kronologi hukuman:

1. 29 Jun 2013

Pemain pertahanan JDT, Aidil Zafuan Abd Radzak, digantung dua perlawanan dan terpaksa melepaskan peluang untuk beraksi dalam Final Piala FA 2013 menentang Kelantan selepas menerima kad merah dalam perlawanan Liga Super 2013 melawan Lions XII. Rayuannya untuk mengurangkan hukuman ditolak oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM.

2. 4 September 2013

FAM telah mendenda Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) sebanyak RM40,000 akibat tindakan penyokong yang membakar suar dan membaling resit semasa perlawanan Liga Super antara JDT dan Selangor di Stadium Larkin pada 6 Julai 2013.

3. 19 Mei 2014

Dalam perlawanan antara JDT II dan UITM Selangor di Stadium Pasir Gudang, penyokong membaling botol air ke arah pegawai keselamatan serta pemain dan pegawai UITM Selangor. PBNJ didenda RM10,000 atas kesalahan tersebut, manakala JDT II dikenakan denda RM20,000 kerana kelonggaran dalam aspek keselamatan. Bekas pengurus JDT II, On Jabbar, digantung selama 20 tahun dan didenda RM50,000 kerana menyerang pegawai perlawanan.

4. 13 Jun 2015

PBNJ didenda RM10,000 kerana gagal mengawal kelakuan penyokong semasa perlawanan Liga Super menentang JDT di Stadium Perak, Ipoh. Bekas penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Mohd Anis Faron, pula digantung selama enam bulan dan didenda RM5,000.

5. 19 Jun 2015

JDT II dikenakan denda sebanyak RM5,000 kerana menurunkan pemain yang tidak layak bermain semasa perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Lions XII. Keputusan perlawanan tersebut diubah, dengan JDT II dianggap kalah 0-3 kepada Lions XII.

6. 30 Disember 2015

Selepas perlawanan Liga Super 2015 antara KL Felda United FC dan JDT, sekumpulan penyokong JDT menceroboh masuk ke padang. Akibat insiden ini, PBNJ didenda sebanyak RM5,000.

7. 26 April 2017

Pemain JDT, Nazmi Faiz Mansor, digantung satu perlawanan dan didenda RM3,000 kerana melakukan kekasaran dalam perlawanan suku akhir kedua Piala FA 2017 menentang Pahang. Begitu juga, pemain JDT, Afiq Fazail, digantung satu perlawanan dan didenda RM3,000 kerana melakukan terjahan dalam perlawanan yang sama.

8. 1 Mei 2017

JDT dan Kelantan masing-masing dikenakan denda sebanyak RM10,000 kerana penyokong mereka telah membaling objek ke dalam padang semasa perlawanan masing-masing.

9. 10 Julai 2018

Muhammad Fazly Mazlan, pemain JDT II, digantung selama dua perlawanan dan diberi amaran keras kerana tindakannya yang ganas dalam perlawanan Liga Premier 2018 menentang PDRM.

10. 15 September 2018

JDT dikenakan denda sebanyak RM15,000 kerana penyokong mereka menyalakan 25 batang suar semasa perlawanan Piala Malaysia 2018 menentang Kelantan.

11. 31 Mei 2019

JDT didenda sebanyak RM25,000 kerana penyokong mereka menyalakan mercun roket sebelum dan semasa perlawanan Liga Super 2019 menentang Pahang. Selain itu, pemain JDT IV, Syahirul Fazly Zaini, digantung selama dua perlawanan dan didenda RM1,000 kerana mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengadil dalam perlawanan Piala Belia 2019 menentang Perak.

12. 1 April 2021

Pemain JDT, Natxo Insa, digantung selama dua perlawanan dan didenda RM10,000 kerana kelakuan tidak bersemangat sukan terhadap pengadil dalam perlawanan Liga Super 2021 menentang Perak FC.

13. 31 Disember 2021

Pemain JDT, Safiq Rahim, digantung selama tiga perlawanan atas tindakan ganas dalam perlawanan separuh akhir kedua TM Piala Malaysia 2021 menentang Terengganu FC.

14. 6 Julai 2023

JDT didenda RM120,000 kerana penyokong menyalakan suar dalam tiga perlawanan Liga Malaysia 2023 di Stadium Sultan Ibrahim.

15. 20 November 2023

JDT didenda sebanyak RM15,000 kerana gagal mematuhi obligasi penganjuran yang menyebabkan penyokong melakukan ejekan, provokasi, dan serangan terhadap penyokong lawan dalam perlawanan Malaysia Premier Futsal League 2023 menentang Selangor MAC. Selain itu, JDT juga dikenakan denda RM15,000 kerana penyokong mereka menyebabkan kecederaan serius kepada penyokong Kuala Lumpur City FC dalam perlawanan akhir Piala FA 2023.

Baca juga: Rumahtangga 24 tahun terlerai, isteri kantoi ‘check in’ dengan rakan Tinder