Sebelum ini, pernah berlaku beberapa kes pihak bank tersilap melakukan transaksi ke dalam akaun individu hingga membuatkan si penerima itu terkedu sebentar kerana menjadi jutawan sekelip mata.
Demikianlah seperti yang terjadi ke atas seorang lelaki di Amerika Syarikat (US) yang terkedu apabila mendapati dirinya tidak semena-mena menjadi orang ke-25 terkaya di dunia baru-baru ini.
Imbas sedikit latar belakang kesnya, lelaki tersebut, Darren James berasa bertuah menjadi jutawan sekelip mata apabila RM225 bilion ‘termasuk’ ke dalam akaun bank miliknya bagaikan durian runtuh.
Kesilapan transaksi oleh pihak bank adakalanya boleh menjadi kes jenayah berat seperti yang terjadi ke atas sepasang pasangan kekasih dari New Zealand sekitar 2009 dahulu.
Segalanya bermula semasa tertuduh lelaki membuat permohonan pinjaman sebanyak RM262,960 kepada bank tempatan Australia, Westpack Bank secara overdraft pada 2009 lalu.
Pihak bank melakukan kesilapan dengan memindahkan sejumlah RM26 juta ke dalam akaun tertuduh secara tidak sengaja sebelum disedari pihak mereka beberapa hari kemudian.
Walau bagaimanapun menurut siasatan polis, pasangan itu telah memindahkan lebih daripada separuh wang tersebut ke dalam akaun-akaun lain sebelum berpakat melarikan diri ke Hong Kong.
Dengan wang tersebut mereka difahamkan telah berjoli sakan dan berjudi dipercayai menggunakan duit tersebut semasa berada di Macau dan selatan China pada 2010 berikutnya.
Menurut fakta kes, selepas kedua-duanya ditahan, mereka diikat jamin di alamat yang berbeza sebelum sesi pembicaraan bermul
Bagaimanapun laporan media New Zealand memaklumkan, tertuduh berkata di dalam mahkamah bahawa dia tidak mampu untuk membayar semula duit yang telah digunakan tersebut.
Wanita tersebut ditahan selepas kepulangannya ke New Zealand dan disabitkan kesalahan di Mahkhamah Rotorua walau bagaimanapun, wanita tersebut mengaku tidak bersalah dengan mendakwa bekas teman lelakinya telah memenangi loteri.
Sehubungan itu, wanita tersebut diarahkan untuk membayar pampasan kira-kira sebanyak RM31,000 terhadap pihak bank berkenaan.
Tertuduh lelaki dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun tujuh bulan, manakala bekas teman wanitanya diperintahkan hukuman tahanan rumah selama enam bulan.
Sementara itu Westpac tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap sebutan kes.
Terdapat laporan yang menyatakan bahawa pihak bank tersebut berjaya memperoleh semula RM7.63 juta tetapi masih kekurangan kira-kira RM8.97 juta.
Kisah pasangan kekasih yang menjadi ‘jutawan celup’ itu pernah menggemparkan dunia jenayah kewangan hingga meraih perhatian global.
Untuk pengetahuan, kisah mereka telah diadaptasi menjadi sebuah filem iaitu Runaway Millionaires (2019) yang diarahkan oleh pengarah Danny Mulherron, dibintangi oleh Jess Sayer dan George Zhao.