Sindiket perjudian dalam talian dikesan berselindung di sebalik kafe hipster dengan rekaan dan dekorasi menarik di daerah Seremban.
Premis-premis ini menarik perhatian pelanggan bukan hanya kerana suasana kafe yang unik, tetapi juga perkhidmatan perjudian dalam talian yang ditawarkan secara tersembunyi.
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, enam premis yang pernah diserbu polis sebelum ini sekali lagi dikenakan tindakan dalam operasi Ops Pemotongan Khas yang dijalankan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Operasi ini bertujuan untuk memotong bekalan utiliti dan membekukan operasi premis yang menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.
“Polis dan TNB telah mengambil tindakan pemotongan serta pembekuan utiliti terhadap premis yang menjalankan kegiatan perjudian dalam talian,” kata Mohamad Hatta Che Din. Beliau menegaskan bahawa tindakan tegas diambil terhadap enam premis tersebut selaras dengan peruntukan mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Langkah ini diambil sebagai usaha untuk menghalang dan memberhentikan kegiatan perjudian dalam talian yang masih berdegil menjalankan operasi walaupun telah diserbu beberapa kali sebelum ini. Tindakan ini juga diharapkan dapat memberi amaran kepada premis lain yang terlibat dalam aktiviti haram serupa.
Baca: Dalam peta Malaysia nampak kecil, realitinya tanah lagi besar dari negara eropah dan Korea Selatan