Kahwin 12 tahun tapi tak ada anak, isteri ini pasangkan pelamin buat suami dan madu. Si isteri berlapang dada menerima keputusan suami serta madu yang kini dianggap seperti ahli keluarga sendiri.
Apatah lagi beliau dan suami berkahwin sejak 12 tahun lalu namun mereka tidak dikurniakan zuriat yang menjadi antara alasan untuknya berlapang dada dengan perkahwinan kedua.
Berhubung perkongsiannya di TikTok, Syazwani Ali, 34, berkata, ia bukan untuk meraih perhatian sebaliknya untuk menyimpan kenangan selain untuk berkongsi sesuatu yang positif supaya orang lain yang melalui perkara sama juga berlapang dada.
“Mungkin cerita kita tidak sama tetapi dengan perkongsian itu pasti ia memberi sedikit maklumat daripada sudut positif untuk orang lain kerana saya juga selalu melihat konten poligami di TikTok yang menunjukkan kemanisan hidup bermadu,” katanya.
Berkongsi videonya, suami Amerul Azizon, 43, dan madu, Nurul Nadzirah Syamsudin, 23, Sabtu lalu yang meraih perhatian netizen di TikTok yang memuji sikap positif wanita itu.
Suami Syazwani, Amerul dan Nurul Nadzirah bernikah pada Ogos tahun lalu dan Syazwani memberikan kebenaran dan memasang pelamin sebagai kenangan perkahwinan kedua buat suami sebelum berkongsi video itu di akaun TikToknya.
Syazwani berkata, pada mulanya dia juga seperti wanita lain yang enggan dimadu, namun mengakui menerima takdir itu dengan reda selepas melihat suami tidak pernah membezakannya dan isteri kedua.
Menurutnya, perasaan marah itu kemudian beransur hilang dan dia mengakui mula menyayangi isteri kedua suami yang kini sudah dianggap seperti adik dan ahli keluarga sendiri, malah mereka juga sering menghabiskan masa bersama.
“Kami juga bersama membantu suami di kedai tayarnya dan saya juga buat perkhidmatan pelamin secara sambilan serta kadang-kadang madu juga akan bantu,” katanya yang tinggal di Taman Selasih, di sini.
Baca juga: βMuka Zahirah macam bibik..β β Fathia