Letih teramat letih seolah-olah kaki rasa dah nak tercabut antara yang lazim dialami oleh mereka yang bekerja dalam bidang makanan dan minuman (F&B).
Lebih penat apabila pengurusan atas selagi boleh mahu mengurangkan bilangan staf.
Itu sebabnya sebagai pelanggan yang berjiwa insan, eloklah mudahkan urusan orang kerana tidak selalu ‘customer always right’.
Tak salah kalau makanan sampai, ucap terima kasih. Dah selesai makan, susun elok-elok pinggan dan gelas supaya mudah pekerja uruskan sisa. Jangan makan macam kucing, bersepah.
Ikuti perkongsian menarik daripada pempengaruh Ume Nur Ashikien yang kini sepenuh masa menjual Acar Ikan Masin Dapurcikin:
Cerita pasal kerja F&B, dulu aku pernah kerja F&B lepas bergraduan, circa awal 2017.
Aku kerja dekat satu restoran Jepun, di Aeon Kulai. Masa tu restoran tu baru nak buka outlet pertama di Johor.
Waktu tu gaji basic dia offer tinggi. Gaji crew biasa RM 1,664 tak silap aku, antara restoran Jepun yang offer gaji paling tinggi.
Aku apply jawatan supervisor, tapi nak naik supervisor kena start dari crew biasa dulu. Aku okay je, pasal gaji basic dia bagi pun dah tinggi.
Dulu, aku mana pandai bergaul dengan orang, kemahiran sosial aku memang teruk sikit.
Lepas tu orang cakap muka aku bengis. Susah nak senyum. Padahal muka aku biasa je.
Hari pertama pembukaan outlet, aku dah gaduh dengan customer. Gaduh pasal air green tea dia minum, tak rasa macam green tea.
Pakkal ada General Manager time tu, terpaksalah aku minta maaf dengan customer. Takut hari pertama belum apa-apa dah kena buang kerja.
Sejak dari itu, aku cuba belajar senyum dan sabar kalau berhadapan dengan customer, walaupun ada yang kadang-kadang perangai macam biawak komodo.
Bila dah agak lama kerja dekat situ, jadual kerja pun bertukar. Waktu kerja shift pagi, hanya 2 orang staf sahaja yang jaga outlet. Seorang duduk dapur, seorang lagi jaga floor, dan jaga kaunter.
Yang duduk kitchen okay lagi, masak order je. Yang jaga floor tu, macam-macam kena buat.
Ambik order, siapkan order, jaga cashier, angkut pinggan mangkuk kotor, semua kena buat sendiri.
Lepas itu, yang jaga floor tu paling hamlau dapat dekat aku pulak tu.
Ada satu hari tu aku ingat lagi, hari Jumaat. Kalau hari jumaat, kedai memang akan penuh sebab waktu rehat panjang.
Masuk je pukul 12pm, customer datang kemain ramai lagi. Berpusu-pusu masuk. Aku dengan nak ambik order, nak siapkan order, hantar order lagi.
Lepas tu dengan customer terjerit-jerit mintak tambah order. Aku burnout dah.
Akhirnya, aku menyorok bawah kaunter, menangis. Lantak engkau lah situ customer, kau nak order ke kau nak makan ke, aku peduli apa.
Kau nak makan buat sendiri dekat dapur sana. Kaki aku rasa dah nak tercabut dah jalan sana sini tak berhenti.
Aku menangis bawah kaunter, sambil mencarut-carut menyesal kerja F&B. Adalah dalam 2-3 minit duduk bawah kaunter.
Lepas tu aku lap air mata, keluar dari kaunter sambil tersenyum balik bak model selipar Abibas. Buat macam takde apa-apa berlaku, sambung balik kerja.
Gitulah kalau kerja F&B. Penat tak boleh bawak bincang. Seronok memang seronok, sebab staf semua masuk air.
Tapi part yang tak seronok tu bahagian pengurusan atasan, otak masuk minyak hitam.
Konsep mereka, selagi boleh kurangkan pekerja, mereka akan kurangkan, sebab nak jimat kos.
Yang jadi mangsa pekerja outlet, kerja kena kerah macam… Sambunglah sendiri.
Itu baru hadap perangai orang atasan. Belum hadap perangai customer lagi.
Yang makan berkecah macam ayam ada, nasi bersepah atas bawah meja. Hairan aku memikirkan cara makannya macam mana.
Yang mintak diskaun lain, yang tumpahkan lauk lain, yang mintak cili padi pun ada. Restoran Jepun mana ada cili padi hamlau.
Nak cili padi pegilah warung Wak Sahak sana. Boleh berbuih mulut aku lama-lama layan perangai customer.
Aku kerja kat Kulai adalah dalam 5-6 bulan, lepas tu aku berhenti pasal dapat tawaran join SL1M under TNB.
Lepas tu ku terus berhijrah ke KL. Terus jadi orang Keyel.
Sebab tu, kalau aku makan dekat kedai, aku suka susun pinggan ku elok-elok lepas makan.
Kalau dekat restoran fastfood pulak, lepas makan aku suka buangkan terus sampah tu dalam tong disediakan. Sebab Aku paham, kepenatan kerja dalam bidang F&B ni macam mana.
Aku punya konsep, kita mudahkan kerja orang, insya-Allah Allah mudahkan kerja kita semula.
Member aku kalau takde customer dia punya hobi tidur. Asal takde orang je tidur, atas lantai kitchen pun jadi. Kalau kecipratan minyak panas, sia-sia je hidup ko mat.