MB Kedah Muhammad Sanusi Md Nor semalam yakin Kedah akan jadi negeri paling maju jika Kuala Lumpur berada dekat dengan mereka.
Memetik Malaysiakini, “dengan itu juga hujah bahawa Selangor menjadi negeri termaju di negara ini kerajan ditadbir PH dapat disangkal” , kata Sanusi.
“Selangor bertuah kerana KL berada dalam wilayah negeri Selangor. Di situlah pusat pembangunan, pusat perniagaan… segala pusat ada di Kuala Lumpur.
“Kalau Kuala Lumpur itu ada di Kedah saya yakin (kemajuan) Selangor akan berada jauh (di belakang) dari Kedah pada waktu ini, dan (kemajuan) Kedah yang ada Kuala Lumpur di dalamnya akan melonjak lebih jauh,” katanya seperti dipetik Malaysiakini.
Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PN berkata Selangor tidak boleh dijadikan model negeri PH paling berjaya kerana kebijaksanaan pimpinannya memerintah, tambahnya.
Selangor tumpang tuah KL
Katanya banyak daerah dalam Selangor yang berada jauh dari bandar raya, tidak mendapat pembangunan yang pesat, malah ada yang “lebih teruk” dari negeri lain.
“Saya rasa Selangor bukan negeri yang boleh dijadikan model kebijaksanaan PH khususnya PKR. Mereka hanya menumpang tuah dari Kuala Lumpur,” katanya.
Kerana itulah, katanya, kerajaan pusat mahu merampas negeri terbabit walau dengan apa cara sekalipun.
“Kalau tahun 2021 kita (Kedah) terima RM28.3 bilion, untuk 2022 RM13.4 bilion dan tahun ini untuk lima bulan yang pertama kita menerima RM5 bilion tidak mustahil kita boleh cecah belasan bilion ringgit pelaburan yang akan masuk ke Kedah.
“Kalau semua pelaburan ini telah menampakkan hasil dalam tempoh beberapa tahun ini Kedah akan melonjak sebagai kuasa besar di Utara,” katanya lagi.
Sebab itulah, katanya, serangan bertali arus dibuat ke atas Kedah untuk merampas negeri berkenaan.
Dakwa Sanusi, Kedah seolah-olah menjadi dara pingitan yang diidamkan pihak lawan.
Baca: Puad ni ada dekat planet mana sekarang? soal Sanusi selepas dihentam