“Kalau sehari tak kayuh beca badan lemau seperti tidak bertenaga”- Keadaan pengayuh baca Terengganu demi mencari rezeki

“Kalau sehari tak kayuh beca badan lemau seperti tidak bertenaga,” itulah kata-kata yang diungkapkan olah salah seorang warga emas yang mengayuh beca di Kuala Terengganu.

Demi mencari sesuap rezeki mereka mengharungi pelbagai keadaan cuaca, walaupun sudah menjangkau usia emas.

“Kalau sehari tak kayuh beca, badan akan rasa lemau seperti tidak bertenaga dan saya sifatkan pekerjaan mengayuh beca seperti melakukan senaman.

“Alhamdulillah, walaupun cuaca tidak menentu namun saya masih diberi keupayaan oleh Allah SWT untuk mencari rezeki setiap hari,” kata seorang pengayuh baca Mansor Mamat, 68, dari Kampung Losong.

Pengalaman 44 tahun mengayuh beca tidak menghalangnya untuk terus berkayuh walaupun pada musim tengkujuh.

Katanya, kini tinggal kira-kira 18 pengayuh beca di bandaraya ini dan kebiasaannya lapan hingga 10 pengayuh saja yang datang untuk memberi perkhidmatan beca di sini.

Mansor berkata, kesemua pengayuh beca di bandaraya ini semuanya sudah menjangkau usia emas namun masih gagah untuk mencari rezeki walaupun berdepan pelbagai keadaan cuaca.

Mamat Ibrahim, 79, dari Kampung Ladang, di sini, berkata, beliau sudah lebih 15 tahun mengayuh beca yang diibaratkan ‘tonik kesihatan’ buat dirinya walaupun kini terpaksa berdepan dengan Monsun Timur Laut (MTL).

“Ia sudah sebati dalam hidup saya. Hujan ke… panas ke… ada penumpang atau tiada saya tetap mengayuh beca kerana tidak suka duduk terperap di rumah.

“Kalau kayuh beca sekurang-kurangnya pengaliran darah di dalam badan berjalan dengan baik dan menyihatkan badan,” katanya.

Baca juga: Kecoh filem ‘blue’ pertama dibikin Malaysia, tawar RM500 seorang pelakon