Bekas Naib Presiden AMANAH, Senator Datuk Husam Musa menyokong tuntutan Pemuda Pas untuk bertanding sekurang-kurangnya 50 kerusi Parlimen dengan meletakkan calon di seluruh Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Beliau secara sinis menganggap pendirian Pemuda Pas semasa muktamar sayap parti tersebut di Kota Bharu baru-baru ini sebagai muafakat antara Pas dan Umno pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sehubungan itu, Husam berharap Pas tidak akan menukar ketetapan yang disebutkan Timbalan Ketua Pemuda parti itu, Ahmad Fadhli Shaari ketika berucap pada Muktamar Pemuda Pas, 12 September lalu.
“Minta maaf nanti orang AMANAH marah saya pula. Saya sokong Timbalan Ketua Pemuda Pas seperti diucapkan dalam muktamar, dibentang dan diluluskan bahawa Pas akan bertanding di semua kerusi Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Pas sila ambil perhatian. Saya sokong cadangan Pas akan bertanding sekurang-kurangnya 50 kerusi parlimen termasuk di semua kerusi Parlimen di Kelantan (14), Terengganu (8) dan Kedah (15) dan Perlis (3).
“Itulah muafakat bukan bergaduh. Selain negeri-negeri itu, Umno bertanding semua. Itu juga muafakat. Lagi senang.
“Janganlah pula tukar formula ini,” sinisnya dalam Sembang Santai Isu Politik Terkini di Dewan Serbaguna Amjal, Pantai Baharu di Lembah Pantai malam tadi.
Husam menyifatkan tuntutan Pas dalam isu agihan kerusi itu menyerlahkan nilai muafakat dalam Perikatan Nasional (PN) sedang dilanda masalah.
Hal yang sama, jelasnya, berhubung isu pemilihan Ketua Menteri Sabah antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) jika Gabungan Rakyat Sabah berjaya menawan Sabah daripada gabungan Warisan Plus.
“Kekalutan dalam muafakat itu begitu mudah terserlah. Bagaimana untuk ada jaminan selepas PRU nanti kestabilan negara dapat diwujudkan?
“Itu baru (agihan) kerusi. Kemudian isu calon Ketua Menteri (Sabah). Dalam satu kelambu ada dua ketua menteri. Satu dari BN, satu lagi PN.
“Itu gambaran perebutan jawatan Perdana Menteri (PM) akan jadi lebih sengit. Tidak ada siapa dapat beri jaminan Muhyiddin akan jadi PM semula. Tidak akan.
“Zahid (Hamidi) pun nak jadi PM. Kalau kerusi dia (Umno) lebih, dia akan jadi PM,” katanya.
Justeru, Husam berharap Pakatan Harapan (PH) memberi tumpuan kepada isu nasional bagi kepentingan negara dan rakyat dalam percaturan politik antara BN dan PN.
“Kelam kabutlah negara dan sengsaralah rakyat kita. Miskinlah negara kita. Mundurlah rakyat kita.
“Ini fokus agenda nasional bagi PH. Tidak ada agenda peribadi lagi. Kalau kita (PH) ada kejelasan dan ketegasan ini, barulah mobilisasi rakyat dapat kita bangunkan,” tegasnya lagi.