DAP mendesak kerajaan mempertimbangkan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dilantik semula sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said.
Setiusaha DAP Perak, Wong Kah Woh berkata, jawatan tersebut wajar diberikan kepada pembangkang sebagai usaha memastikan pembaharuan insititusi Parlimen dapat dilaksanakan dengan baik.
Menurutnya, jika perkara itu dapat dilaksanakan sekarang ia akan pasti akan dilaksanakan pada penggal-penggal yang akan datang.
“Pihak Pakatan Harapan (PH) juga seperti diumumkan sebelum ini telah mencalonkan Kor Ming iaitu bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat selama 25 bulan semasa kerajaan PH untuk kembali menjawat jawatan berkenaan dan tindakan ini amat penting kerana kita tahu sekiranya kita mahu Parlimen kita menjadi satu contoh.
“Namun apabila kami dengar (Ahli Parlimen Pontian) Ahmad Maslan mungkin akan dicalonkan sebagai Timbalan Speaker, itu merupakan perkembangan yang amat menyedihkan kerana kita mungkin hilang satu peluang keemasan untuk memantap institusi Parlimen yang kita ada,” katanya kepada pemberita ketika ditemui meninjau Program Outreach Vaksinasi DUN Menglembu di Dewan Orang Ramai Lahat, di sini, pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN:Parlimen jadi bahan jenaka jika Timbalan Speaker dari ‘kluster mahkamah’
Hadir sama dalam tinjauan berkenaan, Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Menglembu, Steven Chaw Kam Foon; ADUN Canning, Jenny Choi Tsi Jen dan ADUN Jelapang, Cheah Pou Hian.
Kah Woh berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sepatutnya mengambil peluang tawaran gencatan politik dengan pembangkang ketika ini dengan memilih ahli Parlimen pembangkang untuk memegang jawatan tersebut.
Jelas Ahli Parlimen Ipoh Timur itu, biarpun ahli-ahli Parlimen pembangkang belum menerima sebarang notis mengenai pencalonan Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu, pandangan Azalina perlu dipertimbangkan.
Menurutnya, Azalina dalam kenyataan selepas melepas jawatan Timbalan Speaker sebelum ini menjelaskan, salah satu jawatan tersebut perlu diberikan kepada pembangkang bagi memastikan pembaharuan institusi Parlimen dapat dilaksanakan.
Sementara itu, V Sivakumar berkata, jawatan Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat perlu digalas oleh individu yang bersih daripada pertuduhan mahkamah.
Menurutnya, mereka yang mempunyai kes di mahkamah tidak wajar diberikan sebarang jawatan apatah lagi kedudukan mulia seperti Speakar atau Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya semua 220 Ahli Parlimen memilih calon daripada PH yang mempunyai pengalaman dan kredibiliti.
Media sebelum ini melaporkan kedudukan Speaker Dewan Rakyat dipercayai tidak berubah dengan mengekalkan Datuk Azhar Azizan Harun, manakala jawatan Timbalan Speaker dijangka diisi Ahmad berikutan perkara itu dipersetujui parti yang bergabung dalam Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/160227/BERITA/Politik/Kami-mahu-Kor-Ming-Timbalan-Speaker-bukan-Ahmad-Maslan