Kanak-kanak solat jemaah di masjid ini selama 40 hari dapat hadiah basikal

Kanak-kanak yang menunaikan solat jemaah selama 40 hari di Masjid Nur As-Sa’adah Kampung Pengkalan Batu Malaka akan mendapat hadiah sebuah basikal.

Pihak masjid telah menyediakan 40 basikal menerusi Program Istiqamah Subuh 40 Hari, bagaimanapun setiap mereka diberikan kad yang akan dicop sebagai tanda hadir bersolat jemaah.

Pengerusi masjid Datuk Amzah Osman berkata inisiatif berkenaan yang dijalankan sejak awal bulan ini bertujuan memberi suntikan semangat dan motivasi kepada anak-anak di dalam kariah itu sebagai usaha melahirkan generasi berakhlak serta berdisplin, selain menyuburkan nilai-nilai murni.

“Program ini bertujuan menjadikan tempat ibadah ini mesra kanak-kanak, sekali gus mengimarahkannya. Kami rasa seronok melihat perkembangan positif di masjid ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata pada hari persekolahan, ramai kanak-kanak hadir ke masjid lengkap berpakaian sekolah untuk menunaikan solat Subuh.

Katanya program itu melibatkan kos sekitar RM20,000, dan sejak dilaksanakan kehadiran generasi muda di Masjid Nur As-Sa’adah dilihat semakin bertambah, terutama pada hujung minggu bagi mengikuti tazkirah, kelas pengajian agama dan ceramah.

Sementara itu Amzah berkata pihak masjid juga menyediakan Gerobok Rezeki untuk kemudahan golongan asnaf dan mereka yang memerlukan bantuan barangan keperluan.

Menurutnya sehingga kini terdapat 64 penerima setiap bulan yang datang mengambil barangan diperlukan seperti beras, gula, kopi, lampin pakai buang dan sebagainya.

“Mereka diberi kad untuk memilih 24 barangan yang disediakan di sini secara percuma. Dana bantuan ini juga hasil sumbangan daripada dermawan dan orang perseorangan,” katanya yang berharap usaha itu menjadi ikutan kepada masjid lain.