Satu kasut masih utuh dan cantik dipercayai dimiliki seorang kanak-kanak berusia lebih 2,000 tahun ditemui oleh seorang ahli arkeologi di Austria dengan talinya kelihatan masih utuh.
Menurut Muzium Perlombongan Jerman Bochum-Leibniz Muzium Penyelidikan untuk Geo-sumber, reka bentuk kasut kulit dengan saiz 30 (EU) atau saiz 12 (AS), mungkin dibuat pada abad ke-2 sebelum Masihi (SM).
Difahamkan, kasut itu digali oleh ahli arkeologi di kampung barat Dürrnberg, tempat perlombongan garam batu seawal Zaman Besi.
Sifat kasut yang masih utuh dan cantik itu adalah disebabkan awetan garam yang menjadi bahan yang sangat baik untuk memelihara sisa organik hingga mampu mengekalkan keadaan kasut itu, walaupun dalam tempoh yang lama.
Sementara itu, Ketua Jabatan Penyelidikan di Muzium Perlombongan Jerman, Profesor Thomas Stoellner, berkata aktiviti penyelidikan di Dürrnberg berjaya menemui penemuan berharga selama beberapa dekad untuk meneroka secara saintifik aktiviti perlombongan terawal.
“Keadaan kasut yang ditemui adalah luar biasa.
“Bahan organik biasanya terurai dari semasa ke semasa. Bagaimanapun, penemuan seperti kasut kanak-kanak ini, sisa tekstil atau najis seperti yang ditemui di Dürrnberg, menunjukkan sesuatu yang sangat jarang berlaku tentang kehidupan pelombong Zaman Besi,” katanya.
Menurut kenyataan muzium, kerja-kerja penggalian di Dürrnberg sedang dilakukan untuk mendapatkan maklumat mengenai kerja dan kehidupan pelombong zaman Besi.
“Selain menemui kasut sebagai antara sisa organik lain, turut ditemui termasuk serpihan bilah penyodok kayu serta sisa bulu dengan tali yang mungkin berasal daripada tudung bulu.
“Sisa-sisa tali kasut yang ditemui diawet berkemungkinan diperbuat daripada rami atau linen.
“Menemui kasut kanak-kanak adalah sesuatu yang istimewa kerana ia menunjukkan bahawa kanak-kanak juga wujud di kawasan itu,” menurut kenyataan muzium.
Baca juga: “Tiap hari makan telur kicap dan sardin”, kehidupan Salih Yaakob buat netizen sedih