Katak dalam Umno adalah dayus! , Zahid bagi amaran

Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang melompat parti disifatkan sebagai tidak bermaruah dan dayus, kata Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, BN berpandangan telah dikhianati akibat perbuatan Ahli-ahli Parlimen terbabit yang jelas telah mencabul amanah diberikan kepada mereka.

Zahid yang juga Presidsen Umno mendakwa mereka yang lompat parti itu sebenarnya mengejar kuasa, wang ringgit dan takut dengan pertuduhan yang boleh mengheret menjadi kluster mahkamah.

“Memang BN rasa dikhianati apabila ramai Ahli Parlimennya yang melompat kerana kuasa dan wang ringgit selepas kita tewas, tetapi kehadiran serta sokongan padu (parti) Makkal Sakti bersama BN mampu melonjakkan semula kita,” katanya ketika berucap secara maya merasmikan Perhimpunan Agung Parti Makkal Sakti di Menara Dato Onn.

Dalam pada itu, Zahid berkata, biar pun ada cadangan untuk menggubal akta lompat parti seperti yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said, semua pihak tidak boleh alpa sama ada akta ia akan diluluskan atau sebaliknya.

Beliau berkata, semua parti komponen dalam BN perlu bersiap siaga dari sekarang dengan menunjukkan kesetiaan dan kepimpinan terhadap parti selain memilih calon yang sesuai untuk dipilih bertanding pada PRU15 akan datang.

Pada 2 Sept lalu Azalina menghantar notis cadangan usul Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 kepada Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun.

sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/19/zahid-gelar-katak-dalam-bn-sebagai-dayus/