Seorang pemilik sebuah kedai makan di Kampung Mawat, Ulu Melaka di sini tidak menyangka apabila premisnya didatangi oleh pelanggan yang tiba dengan menaiki helikopter.
Pemilik Dangau Langkawi, Mohd. Zaidi Abu Hassan, 40 tahun, menerangkan bahawa pada mulanya beliau menerima panggilan daripada seseorang yang disangka sekadar bergurau untuk berkunjung ke kedainya dengan menaiki helikopter.
“Pada mulanya saya beritahu individu tersebut bahawa kawasan kedai saya tidak mempunyai tempat pendaratan dan dia ada bertanya sekiranya ada tanah kosong luas yang berhampiran.
“Saya beritahu memang ada tanah kosong dan mereka minta gambar kawasan tersebut sebelum memaklumkan akan tiba dalam tempoh 20 minit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohd. Zaidi memuat naik video berdurasi lebih dari satu minit yang memperlihatkan sebuah helikopter dengan beberapa individu di dalamnya sedang mendarat berhampiran kedainya.
“Mungkin mereka tertarik dengan cara hidangan tradisional Melayu di YouTube atau TikTok saya yang membuatkan mereka ingin datang ke Dangau Langkawi, tetapi cara mereka datang kita katakan cara kayangan,” ujarnya.
Tambahnya, kira-kira tujuh individu termasuk juruterbang menaiki helikopter tersebut, sementara dua buah kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire membawa kenalan mereka turut serta untuk makan di situ.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari ketika dihubungi mengesahkan pergerakan helikopter tersebut ke lokasi itu mendapat kebenaran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM).
“Penerbangan dan pendaratan tersebut dalam pengetahuan dan kebenaran kawalan trafik udara (ATC) Langkawi,” ujarnya.
Baca juga: Ramai taktahu China mampu hasilkan durian sendiri, sebijik berharga RM250,000